Aplikasi telefon pintar yang menawarkan perkhidmatan pengasuh profesional dan bertauliah serta fleksibel.

Kiddocare, yang dilancarkan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2018, juga secara tidak langsung memberi maklumat kepada ibu bapa atau penjaga tentang pengasuh tersebut.

Selain itu ia memberi peluang pekerjaan kepada para wanita menjadi pengasuh.

“Kiddocare ini kita lancarkan kerana salah satu perkara yang saya dapati menjadi kekangan kepada wanita bekerjaya adalah siapa yang akan menjaga anak-anak di rumah.

"Kami juga mahu lebih ramai wanita mengambil peluang ini untuk menjadi penjaga profesional atau lebih dikenali sebagai pengasuh," kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim selepas melancarkan aplikasi tersebut di sini, hari ini.

Pengarah urusan Kiddocare, Nadira Yusof menjelaskan wanita yang mendaftar sebagai penjaga diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan latarbelakang serta kesihatan.

"Mereka juga perlu melalui program pentauliahan profesional yang digariskan oleh Kiddocare dengan usahasama KPWKM dan badan-badan penyelarasan yang berkaitan sebelum menawarkan perkhidmatan jagaan mereka," katanya lagi.


Bagi memenuhi keperluan keluarga yang pelbagai, perkhidmatan pengasuh bertauliah ini menyediakan pakej penjagaan asas dan premium.

Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Playstore, manakala di App Store pada hujung bulan ini.

Mereka yang berminat untuk menjalani program pentauliahan Kiddocare boleh mendaftar di www.kiddocare.my.