GOOGLE menyasarkan untuk memastikan bahawa jejak karbon (carbon footprint) mereka, yakni pencemaran yang dihasilkan daripada penggunaan tenaga elektrik mereka adalah sifar menjelang 2030.

Pelan tersebut nampaknya kini menghadapi isu kerana laporan alam sekitar terbaru mereka memperlihatkan bahawa jumlah jejak karbon (gas karbon dioksida yang dihasilkan) syarikat tersebut telah meningkat sebanyak 48% sejak 2019.

Malah, menurut laporan yang sama, Google memperlihatkan peningkatan kadar jejak karbon untuk beberapa tahun sekarang, di mana peningkatan dari tahun ke tahun ialah sebanyak 13 peratus.

Google dilihat menggunakan sumber tenaga lestari di mana mereka boleh menggunakannya, akan tetapi di rantau seperti Asia Pasifik, pusat data mereka banyak menggunakan tenaga elektrik tidak lestari, dan ini adalah alasan yang diberikan untuk peningkatan jejak karbon tersebut.

Dalam pada itu, pembangunan pesat teknologi kecerdasan buatan juga memperlihatkan Google menggunakan lebih banyak mesin pelayan untuk memproses pembelajaran mesin dan perkhidmatan AI mereka, dan penggunaan tenaga elektrik yang meningkat akibat teknologi ini bukanlah sesuatu yang baru diketahui.

Syarikat-syarikat seperti Amazon dan Microsoft juga semuanya telahpun menambah kuasa pemprosesan pada pusat data mereka khusus untuk tujuan AI, dan untuk beberapa tahun akan datang, trend penggunaan teknologi AI akan semakin meningkat, dan isu penggunaan tenaga elektrik berskala besar ini akan menjadi semakin serius. -Amanz