KUALA LUMPUR: Astro melancarkan kempen ‘Inilah KITA’ sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, dengan tujuan meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, ‘Inilah KITA’ dipilih bagi mencerminkan rakyat Malaysia yang pelbagai, bersatu, dan bersemangat, dengan tumpuan terhadap semangat kebersamaan dalam landskap negara yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya.

“Terdapat begitu banyak perkara negatif dan perpecahan serta kebencian dalam internet hari ini. Seluruh pasukan kami mahu membina sesuatu, mencipta sesuatu yang lebih positif. Sesuatu yang menunjukkan perpaduan, menunjukkan kebersamaan, menunjukkan pelbagai budaya yang indah yang kita ada di Malaysia, semuanya bersatu dan meraikan makna menjadi rakyat Malaysia.

“'Inilah KITA' adalah sebahagian daripada itu dan kami membina keseluruhan kempen ini merentasi semua platform kami,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen Inilah KITA di sebuah pusat beli belah di ibu negara, pada Rabu.

Jelasnya, biarpun kempen ini akan berlangsung sepanjang bulan kemerdekaan sahaja, namun Astro menyimpan hasrat untuk melihat impak positifnya dapat terus tersemai sepanjang masa.

“Apa yang yang kami cuba wujudkan di sini ialah pemikiran positif serta meraikan kebersamaan, semangat dan pemikiran tentang masa depan yang positif dan cerah.

“Astro mahu menjadi sebahagian daripada itu, dan ketika kita melakukan transformasi dan bergerak ke arah masa depan yang cerah, kita boleh mempamerkan bakat hebat yang ada di negara ini, sama ada penyampai, sama ada penulis skrip, sama ada pelakon, sama ada hos radio, kita boleh meraikan semua kehebatan yang ada.

“Letakkan semuanya di satu tempat dengan format mudah dilihat, mudah dibaca, mudah ditonton, mudah dilihat, mudah didengar, supaya semua masyarakat di negara ini dapat rasa mereka sebahagian daripada sesuatu yang sangat istimewa,”katanya lagi.

Kempen 'Inilah KITA' menampilkan beberapa inisiatif menarik, antaranya Saluran KITA (CH100) dan pratonton percuma enam saluran (Showcase, Hits Movies, tvN Movies, Hits Now, Zee Cinema dan ABO Movies Thangahiraidari) dari 30 Ogos hingga 16 September .

Pelanggan boleh menantikan tajuk baharu dan tayangan perdana di Saluran KITA (CH100), termasuk Lion Girl, Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka, The Music Journey, Pasanga Musim 2, dan Oga & Friends.

Inisiatif lain termasuklah lagu tema kempen bertajuk Inilah KITA dendangan Hael Husaini, Wani Kayrie, Daniel Fong, Joey Leong, Balan Kash dan Roshini.

Selain itu, orang ramai dijemput memeriahkan SYOK FEST KITA yang akan berlangsung di Setia City Park Oval Lawn dari 6 hingga 8 September, membariskan 25 artis tempatan seperti Floor 88, Hattan, Misha Omar, dan Kaka Azraff.

Orang ramai juga boleh mengambil bahagian dalam gerakan sosial 'Inilah Hero KITA', satu inisiatif untuk orang ramai berkongsi cerita tentang individu yang menunjukkan nilai terpuji.

Kisah yang terpilih akan disiarkan dalam segmen Berita Terkini KITA di Astro AWANI jam 5 petang dan saluran KITA pada jam 8.30 malam.