Pengenalan
Terletak di sudut paling timur kepulauan Melayu, Pulau New Guinea menempatkan rantau Papua yang merangkumi dua provinsi Indonesia iaitu provinsi Papua Barat dan provinsi Papua serta negara Papua New Guinea, sebuah negara berdaulat yang wujud pada tahun 1975.
Pulau yang terperosok di antara benua Australasia dan Asia ini tersorok dari pengaruh ketamadunan luar beribu-ribu tahun lamanya sehinggakan komuniti-komuniti orang asli Papua berhasil memelihara ketamadunan kuno mereka yang tidak dapat ditemukan di mana-mana bahagian lain dunia.
Pulau New Guinea adalah pulau kedua terbesar di dunia setelah Pulau Greenland atau nama Inuitnya, Kalaalit Nunaat di benua Amerika Utara.
Terdapat banyak versi cerita bagaimana nama Papua itu muncul, akan tetapi kisah yang paling dominan mengatakan nama ‘Papua’ mungkin didatangkan dari perkataan Melayu kuno ‘pua-pua’ yang bererti kerinting, menjelaskan keadaan fizikal rambut masyarakat asli Papua. Ada juga berpendapat bahawa perkataan ‘Papua’ itu wujud dari frasa suku Biak – sup i papwa – yang bermaksud ‘negeri di bawah terbenamnya suria’ (land below the sunset’).
Rantau Papua adalah sebuah wilayah yang indah yang menawan; dataran hijaunya yang terbentang luas berlatarbelakangkan gunung-ganangnya yang tidak terusik dek kemajuan berserta adat istiadat eksotik masyarakat tempatan menambahkan lagi pesona wilayah Papua yang masih lagi terasing dari pengaruh luar sehingga kini.
Tidak seperti Kuala Lumpur, Bangkok, Singapura ataupun Hong Kong, kota Jayapura yang merupakan ibu kota provinsi Papua, Indonesia bukanlah destinasi pelancongan popular Asia Tenggara bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Malah, tanyalah pada kebanyakan warga Malaysia – kebanyakannya pasti tidak akan tahu wujudnya kota yang bernama Jayapura.
Tiada perkhidmatan pesawat penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Jayapura. Perjalanan ke Jayapura memerlukan seseorang pengembara dari Malaysia untuk menaiki pesawat transit dari Kuala Lumpur menerusi jalur udara Jakarta ataupun dari Kuala Lumpur dan transit di Jakarta, Makassar serta Biak untuk menuju Jayapura.
Walaupun memiliki keindahan alam unik yang tiada tandingannya, wilayah Papua adalah sebuah provinsi dalam Indonesia yang kurang didendang - mungkin kerana wilayah ini agak sepi dari pembangunan berbanding Pulau Jawa, Pulau Bali mahupun Pulau Sumatera atau barangkali juga wilayah ini terlalu jauh dari nadi utama Indonesia, Jakarta.
Sejarah
Berbanding kawasan-kawasan lain di Kepulauan Melayu, tiada kerajaan berdaulat yang jelas pernah melebarkan pengaruhnya ke wilayah Papua melainkan ianya pernah berada di bawah pengaruh empayar Majapahit sekitar kurun ke-13 dan ke-14.
Meskipun begitu, kekuasaan Majapahit dikatakan hanya mencakupi wilayah paling barat di provinsi Papua Barat di mana terletaknya Semenanjung Onin di daerah Fakfak. Setelah Majapahit runtuh, Papua dikuasai oleh Sultan Tidore yang menuntut wilayah-wilayah yang terletak di pantai barat provinsi Papua Barat pada abad ke-18.
Wilayah Papua tidak terangkum di bawah pengaruh Tidore. Kesultanan Tidore yang juga berkuasa di kepulauan Maluku dan Halmahera sering berperang dengan Belanda dan akhirnya tewas di tangan penjajahan Barat pada lewat kurun ke-19 dan telah dihapuskan oleh Belanda pada tahun 1904.
Menjelang kurun ke-18, banyak kuasa Barat telah mula bertapak di kebanyakan kawasan di seluruh Kepulauan Melayu. Pihak British telah mula bertapak di Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara dan Sarawak, pihak Sepanyol telah mula menjajah Filipina dan Belanda dengan secara perlahan memperluaskan kuasanya dari pulau Jawa ke seluruh pulau-pulau di Hindia Timur (gugusan Kepulauan Melayu). Pihak Portugis berjaya menubuhkan pangkalan dan koloninya di bahagian Timur Pulau Timor.
Begitu juga dengan Pulau New Guinea. Dari tahun 1884 sehingga 1906, pihak Belanda telah berjaya menguasai bahagian barat Pulau New Guinea manakala pihak German dan penjajah British memerintah bahagian timur Pulau New Guinea. Pada tahun 1906, pihak British memindahkan kedaulatan ke atas New Guinea Timur kepada Australia. Kebangkitan Jepun pada tahun 1941 menjerumuskan dunia ke kancah peperangan dan Jepun berhasil meletakkan sebahagian besar Pulau New Guinea di bawah telunjuk kekuasaannya.
Kekalahan Jepun pada tahun 1945 mendorong kepada wujudnya Indonesia pada tahun 1945 tetapi kemerdekaan Indonesia hanya diiktiraf Belanda, bekas penjajahnya pada tahun 1949. Sementara New Guinea Timur berhasil mencapai kemerdekaan dari Australia pada tahun 1975 untuk menjadi negara berdaulat Papua New Guinea, Indonesia inginkan New Guinea Barat yang pernah dijajah Belanda menjadi sebahagian dari negara kesatuan Republik Indonesia. Melalui referendum yang dijalankan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1962, ketua-ketua suku di Papua dikatakan bersetuju untuk bersatu dengan Indonesia.
Setelah bersatu dengan Indonesia, nama ‘Papua’ ditukarkan kepada Irian Jaya, kependekan yang beerti ‘Ikut Republik Indonesia Anti-Netherlands’ (IRIAN). Namun begitu, referendum ini dikatakan tidak dijalankan dengan adil dan terdapat beberapa pihak di Irian yang mahukan kemerdekaan. Ketidakpuasan hati ini mendorong sebahagian rakyat Irian untuk menubuhkan Organisasi Papua Merdeka (OPM) pada tahun 1965 bagi memisahkan diri dari republik Indonesia. Perbezaan ketara dari segi adat, budaya, agama dan bahasa masyarakat aslo Papua membuatkan mereka berasa terasing dari masyarakat mainstream Indonesia yang rata-ratanya rumpun Melayu seperti Jawa, Minang, Batak, Bugis dan sebagainya.
Irian Jaya kekal menjadi sebahagian dari Indonesia sehingga ke hari ini. Pentadbiran pusat di Jakarta telah berusaha mengintegrasi dan mengambil hati penduduk Irian Jaya bagi membina Irian Jaya yang lebih utuh. Bermula tahun 2001, seperti provinsi Aceh, wilayah Irian juga telah diberikan autonomi dan ditukarkan semula namanya dari Irian ke Papua – provinsi Irian Jaya Barat menjadi ‘Papua Barat’ dan provinsi Irian menjadi ‘Papua’. Pengembaraan saya ke wilayah Indonesia timur ini hanyalah ke kota Jayapura, kota Wamena dan desa Kurulu di provinsi Papua serta ke kota sempadan Wutung di Papua New Guinea.
Perjalanan ke Jayapura
Perjalanan saya ke Jayapura, Indonesia bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam 29 Ogos 2015. Malaysia Airlines (MAB) atau AirAsia tidak menawarkan penerbangan terus ke Jayapura. Jayapura hanya boleh dicapai menerusi perkhidmatan penerbangan yang disediakan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Indonesia seperti Garuda, Sriwijaya, Batik atau Lion Air.
Kos penerbangan boleh mencecah sehingga RM1700 dengan Garuda atau separuh kos ini dengan syarikat penerbangan lain. Penerbangan ke Jayapura dari Kuala Lumpur harus melewati kota Jakarta (penerbangan yang mengambil masa satu jam setengah). Dari Jakarta, pesawat Sriwijaya Air, Batik, Lion atau Garuda ada menawarkan penerbangan langsung ke Jayapura.
Ada juga penerbangan yang memerlukan seseorang pengembara untuk transit di Makasaar, Sorong dan Biak sebelum tiba di Jayapura. Saya memilih untuk terbang bersama Garuda dan penerbangan langsung dari Jakarta ke Jayapura mengambil masa lebih kurang 5 jam 30 minit, sama seperti jarak tempuh penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth atau Kuala Lumpur ke New Delhi.
Pada ketika itu, saya dapat bayangkan betapa besarnya wilayah negara tetangga serumpun kita ini. Pelbagai persoalan bermain di fikiran pada ketika itu. Adakah Jayapura semoden Jakarta? Bagaimana selamatkah kota Jayapura untuk dikunjungi tetamu asing seperti saya?
Jayapura-Wutung
Dari jendela pesawat ketika penerbangan turun menjelang terbitnya matahari, saya dapat lihat seluruh kawasan persekitaran kota Jayapura - air lautnya yang tenang membiru dibatasi gunung yang menghijau dan garis pantai yang memutih– sememangnya menyejukkan sesiapa saja yang menatapnya.
Disebabkan tanah landai di Jayapura amat terbatas, lapangan terbangnya tidak terletak di kota Jayapura tetapi terletak di Kota Sentani, lebih kurang 25km dari pusat kota Jayapura. Lapangan Terbang Sentani atau dipanggil Bandar Udara Sentani dalam Bahasa Indonesia adalah sebah lapangan terbang yang agak moden dan dilengkapi pelbagai jenis kemudahan.
Persepsi awal saya bahawa Papua adalah sebuah daerah yang mundur sedikit berubah.
Kunjungan ke provinsi Papua adalah tidak lengkap sekiranya tidak ke kota Wamena, kota yang mempunyai majoriti penduduk etnik Papua terletak nun jauh di Pegunungan Jayawijaya yang mana kehidupan tradisional masih tidak terusik.
Sememangnya saya telah bersedia lebih awal dengan membeli tiket pulang pergi dari Jayapura ke Wamena secara atas talian (ticketindonesia.info) dengan harga RM443 bersama syarikat penerbangan Trigana dan Wings Air. Pesawat ke Wamena berangkat pada 31 Ogos 2015 dan saya mempunyai satu hari penuh untuk berkelana di kota Jayapura dan kawasan sekelilingnya.
Adalah dinasihatkan kepada mana-mana pengembara yang ingin ke Jayapura untuk tidak membuat perancangan perjalanan dengan mana-mana syarikat pelancongan yang boleh ditemukan di internet kerana terdapat beberapa kes penipuan sebelum ini. Teksi atau pemandu pelancong sangat mudah didapatkan di pintu ketibaan di Lapangan Terbang Sentani dan boleh juga untuk tawar-menawar dengan mereka sebelum memilih pemandu teksi/pelancong paling sesuai.
Saya memilih Pak Usman, seorang pemuda Bugis berusia 27 tahun untuk membawa saya jalan-jalan keliling kota Jayapura dengan membayar wang upah sebanyak Rp800,000 (termasuk Rp100,000 wang minyak), bersamaan RM260. Sejurus berkenalan, Pak Usman menasihatkan saya untuk tidak sekadar berjalan-jalan di kota Jayapura kerana ianya tidak begitu banyak tempat menarik. Sebaliknya beliau sarankan untuk ke Pasar Skow di perbatasan Indonesia-Papua New Guinea, terletak lebih kurang 60km dari kota Jayapura.
Saya bersetuju dengan saranannya dan oleh kerana jarak umur yang tidak terlalu jauh, kami menjadi rapat dalam masa yang singkat. Hentian pertama adalah di Polda (Kepolisian Daerah) Papua di Jayapura untuk saya memohon ‘surat jalan’ untuk ke Wamena keesokkan harinya.
Surat jalan diperlukan bagi semua pelawat asing yang ingin berkunjung ke Wamena kerana Wamena adalah sebuah daerah yang agak berbahaya kerana terdapat saki baki OPM beroperasi di situ. Surat Jalan ini sebenarnya percuma, akan tetapi pihak polis di sana akan meminta wang sebanyak Rp20, 000- Rp50, 000 (RM6.00- RM18.00) sebagai wang pelincir – bagi mengelakkan sebarang masalah, lakukan sahaja bayaran tersebut.
Setelah Surat Jalan berjaya didapatkan, Pak Usman membawa saya menuju ke Desa Skuow, desa paling hujung yang terletak di perbatasan Indonesia-Papua New Guinea. Perjalanan dari Jayapura ke Skuow mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit melewati hutan belantara Papua. Proses transmigrasi anjuran pentadbiran Suharto pada tahun 70an sehingga 80an telah mengubah demografi asal provinsi Papua dengan pertambahan penduduk suku Jawa dengan agak banyak. Tidak kelihatan walau satu pun desa asli suku Papua sepanjang perjalanan ke perbatasan. Malah, sewaktu berhenti seketika di Jayapura untuk ke Polda, suku Jawa dan Minang terlihat mendominasi sektor perniagaan di kota itu.
Akhirnya, saya dan Pak Usman tiba di Skuow. Desa perbatasan itu kelihatan sepi kerana pasar Skuow hanya beroperasi pada hari minggu, berbeza sekali dengan riuk-pikuk perbatasan Bukit Kayu Hitam dengan Dannok di utara tanahair. Niat di hati ingin juga saya ke Vanimo, kota yang terletak 42km dari Wutung di Papua New Guinea.
Akan tetapi, rakyat Malaysia hanya dibenarkan untuk mendapatkan visa-upon-arrival di Lapangan Terbang Port Moresby dan tidak di perbatasan Indonesia-Papua New Guinea. Walaupunbegitu, saya agak bertuah kerana orang ramai dibenarkan masuk ke Wutung di wilayah negara Papua New Guinea tidak melebihi 500 meter dari pintu sempadan. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeberang ke Papua New Guinea, sebuah negara yang saya tidak pernah menyangka akan saya kunjungi seumur hidup saya.
Mungkin pada sesetengah orang, perbatasan Indonesia-Papua New Guinea di antara Desa Skuow dan Wutung cumalah perbatasan biasa. Tetapi, bagi mereka yang arif geografi akan menyedari bahawa titik sempadan ini adalah titik pemisah di antara benua Asia (Indonesia) dengan benua Oceania/ Australasia (Papua New Guinea).
Pada saya, tempat ini cukup istimewa kerana saya bukan sahaja berdiri di garis pemisah dua negara, tetapi juga garis pemisah dua benua. Tidak terlalu banyak yang boleh dilihat di Wutung melainkan garis pantainya yang agak panjang dan penduduk kampung menjual cenderahati Papua New Guinea di warung-warung yang dioperasikan oleh mereka sendiri.
Wang rupiah tidak diterima di Wutung dan pembelian hanya boleh dilakukan dengan matawang Papua New Guinea, kina. Saya juga mengambil kesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung berketurunan Papua asli yang rata-ratanya fasih berbahasa Inggeris dan bergambar bersama mereka. Setelah itu, Pak Usman membawa saya pulang ke Jayapura dan saya menginap di Hotel Unique, hanya 200 meter dari Lapangan Terbang Sentani. Kos bermalam di Hotel Unique adalah Rp250,000 sekitar RM80.
Wamena
Keesokan paginya, saya berangkat ke Wamena dengan menggunakan perkhidmatan Trigana Air Service, sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai reputasi antara yang terburuk di dunia. Seminggu sebelum itu, pesawat Trigana dari Jayapura ke Oksibil telah terhempas mengorbankan banyak nyawa.
Oleh kerana keinginan saya yang mendalam untuk menyelami budaya masyarakat asli Papua, saya kuatkan hati dan penerbangan yang mengambil masa 1 jam itu akhirnya tiba jua di kota Wamena, kota yang tersorok di Pegunungan Jayawijaya, di ‘jantung’ provinsi Papua. Tiada jalan darat menghubungkan Wamena dan Jayapura ataupun ke mana-mana kota di provinsi Papua. Wamena yang bermaksud ‘babi jinak’, hanya boleh dikunjungi menerusi jalur udara.
Lokasinya yang terletak nun tinggi di pegunungan membuatkan suhu udara di situ menyerupai Bukit Fraser dan Cameron Highlands – dingin dan nyaman – sekitar 12-18 darjah celcius. Kota Wamena mempunyai penduduk seramai 32, 000 orang dan majoritinya suku asli Papua iaitu etnik Dani, Lani dan Yali. Bangunan ‘terminal ‘Lapangan Terbang Wamena tidak kelihatan seperti sebuah terminal tetapi lebih kelihatan seperti sebuah bangsal atau ‘kandang lembu’.
Seperti di Jayapura, saya tidak membuat sebarang tempahan awal untuk mendapatkan teksi mahupun pemandu pelancong di Wamena. Tetapi di Indonesia, tidak perlu bimbang kerana amat mudah untuk mendapatkan perkhidmatan seperti ini.
Saya didatangi Pak Agus, seorang pemuda Jawa yang telah tinggal di Wamena lebih dari 5 tahun, menawarkan untuk menjadi pemandu pelancong saya. Setelah tawar-menawar, dia bersetuju untuk mengambil wang upah sebanyak Rp600, 000 (RM200) termasuk bayaran petrol. Seperti yang dipersetujui, Pak Agus membawa saya berkunjung ke Desa Kurulu, sebuah desa yang membenarkan pengunjung asing untuk menziarahi dan bermesra dengan masyarakat setempatnya.
Perjalanan dari Wamena ke Desa Kurulu mengambil masa 45 minit. Desa itu tidak jauh tapi infrastruktur jalan yang kurang memuaskan memperlahankan perjalanan ke sana. Pemandangan sepanjang perjalanan sangat indah dan menawan – dataran landai kehijauan sejauh mata memandang mengingatkan saya kepada kecantikan semula jadi Australia dan New Zealand.
Tidak seperti Jayapura yang moden dan telah kehilangan sentuhan asli Papuanya, saya dapat melihat perkampungan asli Papua dengan rumah tradisional mereka, ‘hony’, di pinggir jalan. Saya yang telah menjadi sangat teruja dengan keindahan Tanah Papua telah meminta Pak Agus untuk berhenti agar saya dapat mengambil foto.
Pak Agus menyarankan saya untuk mengambil foto dari jendela kereta dan menceritakan saya sifat aneh masyarakat asli Papua di Wamena. Oleh kerana kos hidup yang tinggi dan kekurangan lapangan pekerjaan, masyarakat asli Papua sering memanfaatkan dan mengambil kesempatan terhadap pengunjung asing.
Masyarakat asli Papua percaya alam semulajadi Papua yang indah ini milik mereka dan sebarang foto yang diambil berlatarbelakangkan pemandangan yang menarik harus dibayar kepada mereka – satu klik Rp100,000 (RM30).
Setelah mendengar penjelasan Pak Agus, saya berasa amat terperanjat dan pelik kerana belum pernah saya berdepan gelagat manusia yang seperti ini. Pak Agus juga menyalahkan pemerintah setempat kerana tidak membangunkan ekonomi Papua serta menyalahkan penduduk asli Papua sendiri yang malas berinisiatif untuk bekerja.
Setibanya di Desa Kurulu, saya disambut oleh kepala desa (ketua kampung) yang menawarkan harga pakej Rp1 juta (RM300) untuk berkunjung dan mengambil foto bersama masyarakat desa.
Saya terkesima dengan harga yang ditawarkan dan meminta bayaran dikurangkan kepada Rp500,000 (RM167). Ketua Kampung itu tidak bersetuju dan menawarkan semula harga sebanyak Rp600, 000 (RM200) – berfoto sehingga puas.
Nak tak nak, terpaksalah saya bersetuju kerana saya telah datang sejauh ini untuk bersama-sama dengan masyarakat asli Papua.
Saya telah dijemput masuk dan banyak orang-orang kampung mengerumuni saya. Yang lelaki sekadar memakai koteka, sejenis sarung yang menutupi alat kelamin lelaki dan yang perempuan hanya memakai skirt rumput tanpa mengenakan sebarang baju menutupi dada mereka.
Pelik tapi benar, beginilah cara masyarakat desa asli Papua berpakaian – persis pakaian masyarakat di zaman batu seperti yang digambarkan di dalam siri kartun Flinstones. Disebabkan ketua kampung telah mengizinkan saya untuk berfoto secara bebas, saya pun mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan wang yang telah saya bayar.
Akan tetapi, setelah hampir setengah jam bermesra dan mengambil foto bersama masyarakat desa, ketua kampung itu mengambil keputusan untuk menarik balik kebenaran yang diberikan dan mengarahkan saya untuk berfoto. Saya terpaksa akur dan mengajak Pak Agus pulang ke kota Wamena.
Dalam perjalanan pulang, Pak Agus meminta maaf atas perilaku ketua kampung Desa Kurulu dan menjelaskan kepada saya perkara ini biasa berlaku di Wamena. Sebagai contoh, sekiranya kemalangan berlaku di mana-mana bahagian dunia, orang yang melanggar akan disabitkan kesalahan. Akan tetapi, menurut Pak Agus, di Wamena, keadaannya terbalik.
Pak Agus pernah meletakkan keretanya di tepi jalan dan kemudian seorang lelaki Papua melanggar kenderaannya itu dengan motornya. Sepatutnya Pak Agus yang boleh meminta ganti rugi tetapi sebaliknya, lelaki Papua itu berkeras kesalahan terletak dibahu Pak Agus kerana keretanya itu menyebabkan dia terlanggar dan mengalami kecederaan. Walaupun perkara ini tidak munasabah, ianya tetap menarik untuk mempelajari bagaimana masyarakat di Wamena berfikir dari perspektif yang sangat berbeza.
Ketika melintasi Pasar Wamena yang dikerumuni ramai masyarakat aslinya, saya meminta Pak Agus untuk memberhentikan kenderaan untuk saya berfoto di situ. Sekali lagi, Pak Agus mengatakan itu adalah idea yang kurang baik.
Sebagai sebuah daerah yang dikatakan dipengaruhi saki-baki OPM, berfoto di kawasan yang terdapat banyak masyarakat asli Papua berkumpul adalah tidak disarankan kerana saya boleh dituduh sebagai pengintip pemerintah dan sekaligus mengundang masalah.
Wajah rumpun Melayu saya yang menyerupai suku Jawa menambahkan lagi kebarangkalian masalah akan berlaku jika saya berfoto di situ. Bagi memuaskan hati saya, Pak Agus membawa saya ke puncak bukit yang berlatarbelakangkan kota Wamena. “Di sini aman”, bilang Pak Agus kepada saya untuk berfoto.
Di puncak bukit itu, kota Wamena kelihatan terbentang dikelilingi gunung-ganang yang menghijau. Pemandangannya sangat indah, saling tak tumpah seperti pemandangan di Switzerland, New Zealand mahupun Australia pada musim panas.
Sambil berfoto, Pak Agus juga menceritakan di sebalik keindahan Wamena, pergaduhan antara puak agak sering terjadi di kota ini. Sewaktu pergaduhan, banyak yang menggunakan panah sebagai senjata utama menyebabkan ramai tercedera. Insiden pergaduhan yang terakhir telah menyebabkan bumbung Wamena Mall, pusat perbelanjaan di tengah kota, hancur kesemuanya. Pihak polis juga tidak berupaya melakukan apa-apa untuk menghentikan pertelingkahan ini daripada tercetus.
Setelah puas menikmati pemandangan indah, Pak Agus membawa saya pulang ke Hotel Baliem Palimo Wamena yang berharga Rp300, 000 (RM100) semalam. Hotel ini adalah antara hotel terbaik yang terdapat di Wamena dengan bilik yang luas dan selesa.
Menjelang senja, saya berkesempatan berjalan-jalan keliling Wamena. Dalam banyak-banyak kunjungan saya ke Indonesia, ini adalah kali pertama saya dapat merasakan saya bukan di Indonesia tetapi lebih merasakan saya di Afrika, Fiji ataupun di Papua New Guinea. Penduduk Wamena rata-ratanya ramah akan tetapi masyarakat asli Papua perlu dijauhi sekiranya mereka mabuk bagi mengelakkan terjadinya kejadian yang tidak diingini. Oleh kerana terdapat komuniti Jawa di Wamena, makanan halal mudah didapatkan di sekitar kota ini.
Sewaktu di Wamena, saya sedar bahawa ada benarnya peribahasa ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Indonesia adalah sebuah negara yang didiami ratusan suku dan etnik dan salah satu cara untuk menyatukannya adalah menerusi penggunaan bahasa Melayu/Indonesia secara meluas.
Presiden Sukarno adalah seorang pemimpin yang telah memartabatkan bahasa Indonesia sehingga penggunaannya meliputi ke seluruh pelusuk wilayah Papua, wilayah yang bukan lagi tergolong di dalam rumpun yang sama iaitu rumpun Melayu.
Adalah agak memalukan apabila saya sedar bahawa ada segelintir masyarakat Malaysia yang malu atau tidak fasih berbahasa Malaysia. Kalau orang Indonesia tidak kira suku berbangga dengan bahasa Indonesia mereka, kenapa tidak kita? Bagaimanakah kita boleh memanggil diri kita rakyat Malaysia sekiranya tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik?
Seribu Satu Kenangan
Segala yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga dengan pengembaraan saya ke Tanah Papua. Saya pulang ke Jayapura dengan pesawat Wings Air keesokkan harinya dan menghabiskan masa selama dua lagi di kota itu sebelum pulang ke Jakarta.
Jayapura adalah sebuah kota pelabuhan yang mempunyai pemandangan persisiran pantai yang agak menawan. Akan tetapi, unsur masyarakat asli Papua tidak lagi menebal di Jayapura dibanding Wamena dan telah bercampur aduk dengan suku luar seperti Jawa, Bugis, Minang serta masyarakat Tionghua.
Pesawat Garuda meninggalkan bumi Jayapura pada jam 11.40 pagi menuju barat ke Jakarta. Setelah berhenti selama 4 jam 30 minit di Jakarta, saya kemudiannya terbang ke KLIA dan tiba di tanahair pada awal pagi 3 Ogos 2015.
Provinsi Papua bukanlah seperti yang saya duga.
Pada awalnya, saya menduga Papua adalah sebuah wilayah konflik yang mana masyarakat aslinya tidak dapat berintegrasi dan hidup rukun dengan masyarakat suku Indonesia yang lainnya. Saya juga menjangkakan wilayah ini amat keterbelakang dengan infrastruktur yang sangat minimal. Walaupun terdapat sedikit kebenaran mengenai pengataan ini, pemerintah Indonesia telah sejak kebelakangan ini memberikan pembangunan kepada wilayah Timur yang tersorok ini.
Papua adalah permata Indonesia – kekayaan alam dan keunikan budayanya tiada tandingan.
Walaupun terdapat segelintir perilaku masyarakat aslinya yang agak menjelekkan, akan tetapi secara keseluruhan, provinsi Papua adalah sebuah wilayah yang sangat menarik untuk dikunjungi.
Disebalik kecantikan alamnya, keteguhan budaya kunonya dan potensi besarnya untuk membangun pesat, Papua kekal sebagai sebuah wilayah yang tidak didendang.
Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Mohd Hazmi Mohd Rusli
Wed Jan 27 2016
Penulis bersama kanak-kanak di Desa Kurulu, provinsi Papua, Indonesia
Harga minyak naik didorong data pertumbuhan ekonomi AS
Harga minyak meningkat pada Selasa, disokong oleh data pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh serta jangkaan bahawa aktiviti ekonomi global akan meningkatkan permintaan minyak.
Elak guna soket kelengkapan elektrik berlebihan
Orang ramai dinasihatkan tidak menggunakan soket dengan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau beban yang tinggi.
Rampasan lebih 200kg dadah, terbesar di Terengganu
Polis Terengganu melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri itu dengan merampas lebih 200 kilogram syabu bernilai RM7.8 juta.
Kertas siasatan dibuka kematian kucing di Universiti Malaya
Polis membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor kucing betina dikenali Lily, yang ditemukan dalam keadaan menyayat hati di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.
Pejabat KDPB Sultan Pahang dinamakan sebagai Majlis Kesultanan Pahang
Dengan penukaran nama itu, satu lagi sejarah terlakar bagi institusi berkenaan yang berperanan memikul tanggungjawab dalam semua urusan membabitkan Sultan Pahang.
AWANI Borneo [24/12/2024] – Kes Bunuh ‘Amoi’ | ‘Hotspot’ Banjir | Sambutan Sederhana
Tumpuan AWANI Borneo 24 Dis 2024 bersama Pia Ernadya
- Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
- 18 lokasi 'hotspot' banjir dikenal pasti di Kuching
- Hari Krismas esok, ramai yang sambut di bandar
- Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
- 18 lokasi 'hotspot' banjir dikenal pasti di Kuching
- Hari Krismas esok, ramai yang sambut di bandar
Sambutan di Sibu sederhana, penduduk raikan bersama keluarga
Penduduk di Sibu sambut Krismas di bandar dan pulang kampung halaman ketika Gawai.
Selami nilai kasih sayang, kukuhkan semangat persaudaraan
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengajak rakyat Sarawak menyelami nilai kasih sayang bersama keluarga dan sahabat handai, memohon kemaafan serta mengukuhkan semangat persaudaraan yang tulus antara satu sama lain sempena sambutan Krismas.
Pengusaha bot penambang ambil langkah berjaga-jaga
Pengusaha atau pengendali bot penambang di daerah Sandakan sentiasa memastikan keselamatan penumpang terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini.
Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan pada 14 Disember lepas.
Kembara ke Papua: Wilayah Indonesia yang tidak didendang
Pengembaraan Dr. Hazmi Rusli ke rantau Papua, Indonesia - 'Land below the sunset'.