TERJEBAK dalam kancah najis dadah bukan bermakna seseorang itu 'hilang peluang' untuk menebus segala kesilapan lampau.
Namun, persoalannya, sejauh mana individu tersebut menggunakan peluang keemasan itu untuk menginsafi, memperbaiki diri, serta memperkasakan diri dengan kemahiran.
Di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), 'pesakit' atau diistilahkan sebagai klien yang hadir secara sukarela tanpa pra syarat akan diberikan pendedahan dari aspek rawatan, kerohanian, sokongan dan latihan kemahiran.
Untuk kali ini, penulis bersama jurukamera Fahmey Azhar, berpeluang untuk mendalami kemahiran para klien di Puspen Jelebu, Negeri Sembilan khususnya dalam perniagaan dan keusahawanan.
Untuk rekod, ini kali ketiga penulis menjejakkan kaki ke Puspen - sebelum ini di Dengkil dan Serendah, Selangor.
Walaupun ruang lingkupnya masih di Puspen, tetapi kisah kali ini sedikit berbeza iaitu mengenai keenakan tart nanas hasil air tangan para klien di Puspen Jelebu.
"Istimewa sangat ke tart nanas itu?" mungkin ada yang akan bertanya begitu.
Tetapi, kisah ini bukan hanya berkisar tentang keenakan kuih kegemaran ramai itu, tetapi juga ruang kepada individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah bagi memulakan kehidupan baharu selepas keluar dari pusat tersebut.
Perjalanan saya bersama kru Astro AWANI dari Kuala Lumpur memakan masa sekitar 1 jam 45 minit untuk tiba di Puspen Jelebu.
Lokasinya jauh sedikit dari pekan Jelebu, tetapi menyamankan, kerana pada waktu pagi pengguna jalan raya di sekitar kawasan ini boleh merasai suasana berkabus.
Ada orang kata, perasaannya seperti berada di New Zealand!
Setiba di Puspen Jelebu, kami disambut mesra oleh kakitangan termasuk pengarahnya, Haslinda Jamaluddin.
Pembuatan tart nanas
Seramai lapan klien di Puspen tersebut yang berkemahiran dalam pembuatan tart nanas.
Di satu sudut, lensa kamera merakam ketekunan seorang klien lelaki yang sedang menyusun makanan popular setiap kali lebaran itu, di dalam bekas.
Itulah Haziq (bukan nama sebenar), yang merupakan salah seorang pembuat tart nanas.
Anak tunggal berasal dari Johor ini berada di Puspen Jelebu sejak 11 bulan lalu kerana tersasar langkah dek dadah.
Namun, sejarah hitam itu tidak mematahkan semangat pemuda berusia 24 tahun ini untuk menebus semula segala kesilapan lalu.
Dengan pengalaman yang dimiliki ketika bekerja di sebuah restoran rangkaian makanan segera, ia memberi kelebihan kepada Haziq untuk mendalami kemahiran pembuatan kuih itu.
"Pertama kali saya buat tart nanas ialah selepas enam bulan saya berada di sini. Selepas asas pemulihan, saya diberi peluang untuk menceburi bidang-bidang yang saya minat.
"Dan, projek makanan dan minuman (F&B) adalah salah satu bidang yang diminati. Jadi, saya ceburi bidang ini dan saya lihat ada kelainan pada diri saya," katanya memulakan sesi temu ramah.
'Sentuhan magis' klien Puspen Jelebu
Pastrinya yang gebu dan rasanya sedikit masin dan berlemak, ditambah pula dengan inti yang manis, menjadikan tart nanas jenama Bakery Titi Gold itu setanding dengan produk-produk di pasaran tempatan.
Mungkin tidak keterlaluan jika penulis katakan, ia berada dalam kelasnya tersendiri.
Selain menggunakan bahan premium, keistimewaan tart nanas buatan Puspen Jelebu adalah intinya yang dibuat daripada buah nanas yang ditanam sendiri di kawasan tersebut.
Aktiviti pertanian juga antara salah satu kemahiran yang dibekalkan oleh pihak Puspen kepada para klien.
Berkongsi lanjut, Haziq berkata, bahan-bahan untuk menyiapkan tart nanas disediakan dengan penuh teliti termasuk memastikan ukuran intinya sekata memandangkan ia dibentuk menggunakan tangan.
Malah, tenaga pengajar di Puspen Jelebu juga akan memastikan resepi tart nanas sentiasa berada pada tahap yang baik bagi mengekalkan kualiti, tambahnya.
"Proses pembuatan tart nanas, mungkin nampak mudah. Tetapi tidak bagi saya, sebab, dari mula buat sehingga selesai, kita tidak menggunakan mesin.
"Sebaliknya, saya menggunakan 100 peratus tangan, termasuk membuat bahan bancuhan," kongsi Haziq lagi.
Setakat ini, Puspen Jelebu menerima tempahan sekurang-kurangnya 100 balang sehari daripada komuniti setempat dan agensi swasta hasil promosi di laman sosial.
"Saya rasa gembira sebab saya tak sangka dengan hasil kami buat, kuih ini orang cari dan nak. Jadi, saya bersyukur juga, sambil saya belajar, boleh mencari idea-idea baharu.
"Perancangan saya (apabila keluar Puspen), saya akan ajar emak, sebab emak pun sekarang suri rumah. Jadi, saya ingat akan berniaga, sebab sebelum ini saya berniaga juga.
"Jadi, mungkin, apabila sudah tahu buat produk-produk di sini, saya boleh guna pakai (kemahiran) di luar nanti," ujarnya.
Didik klien menjadi pekerja yang beretika
Sementara itu, Haslinda berkata, kemahiran vokasional yang diberikan kepada para klien merupakan antara lapan komponen dalam Model i-Pulih melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi di Puspen di seluruh negara.
Selain membantu mengekalkan kepulihan ketagihan dadah, ujarnya, kemahiran yang disediakan juga mampu menyokong kebolehpasaran para klien apabila mereka keluar dari Puspen kelak.
"Kita juga mahu dia meningkatkan keyakinan dan ekonomi. Dengan cara ini kita dapat mengurangkan stigma negatif masyarakat kepada klien kita.
"Kita bukan sahaja memberi mereka kemahiran membuat tart nanas atau proses penanaman nanas, sebenarnya yang paling penting adalah untuk kita melahirkan individu yang menjadi pekerja yang lebih baik dan positif, dengan etika-etika pekerja seperti menepati masa, mematuhi peraturan, akur kepada arahan, bertanggungjawab serta amanah.
"Ini untuk memastikan mereka mengekalkan pekerjaan di dalam komuniti, dan secara tidak langsung juga dapat mengurangkan masalah dalam kalangan bekas penagih," katanya.
Mengulas lanjut, Haslinda berkata, melalui jenama Bakery Titi Gold, Puspen Jelebu akan terus mempergiatkan usaha untuk memasarkan produk-produk makanan ke pasaran tempatan.
Usaha tersebut, katanya, termasuk mendapatkan pensijilan Halal Malaysia yang ketika ini di peringkat akhir.
"Kita sudah mendapat pensijilan Mesti, dan InsyaAllah kita akan dapat sijil halal tidak lama lagi.
"Saya yakin apabila kita sudah menerima sijil halal, pemasaran produk Bakery Titi Gold akan lebih luas lagi," katanya lagi.
Selain tart nanas, Bakery Titi Gold turut menghasilkan jem dan roti berperisa nanas, selain produk berasaskan buah roselle.
Hasimi Muhamad
Tue Apr 26 2022
Haziq sedang menyusun tart nanas jenama Bakery Titi Gold di Puspen Jelebu ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini. - Astro AWANI
Wanita 19 tahun korban keenam keracunan arak metanol
Pelancong wanita warga Australia yang dirawat akibat keracunan metanol di Vientiane, Laos, telah disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
Ini menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat minuman keras beracun itu meningkat kepada enam individu, lapor kerajaan Thailand dalam kenyataan.
Ini menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat minuman keras beracun itu meningkat kepada enam individu, lapor kerajaan Thailand dalam kenyataan.
Pertabalan Raja Charles telan kos hampir RM424 juta
Pertabalan Raja Charles menelan belanja sebanyak 72 juta pound (hampir RM424 juta).
Aktivis tuang baja di Pejabat Kementerian Dalam Negeri Itali
Di Rom...pejuang iklim diketuai extinction rebellion pada Jumaat ada cara tersendiri untuk memperjuangkan kesihatan planet bumi khusus dengan perubahan iklim global yang semakin merosot.
Kualiti udara di New Delhi menjunam ke paras berbahaya
Kualiti udara di New Delhi India terus menjunam ke tahap berbahaya setakat Jumaat mengakibatkan rutin harian penduduknya terjejas selain risiko kesihatan yang terus meningkat. Berdasarkan angka indeks kualiti udara (AQI) oleh agensi pemantau kesihatan udara berpangkalan di Switzerland IQAir, kualiti udara di bandar itu terus merosot pada angka 545.
AS8.5 bilion komitmen diperoleh daripada syarikat UK
Indonesia meraih komitmen pelaburan sebanyak 8.5 bilion dolar Amerika daripada 19 syarikat terkemuka United Kingdom (UK) semasa lawatan Presiden Prabowo Subianto ke negara itu.
Polis UK laksana 'letupan terkawal' pada bungkusan misteri
Polis United Kingdom (UK) pada Jumaat bergegas ke Kedutaan Amerika Syarikat untuk melaksanakan prosedur letupan terkawal susulan penemuan bungkusan mencurigakan di perkarangan pejabat itu. Polis Metropolitan London menerusi laman media sosial X pada Jumaat mengesahkan bunyi letupan kuat yang didengari di kawasan itu adalah merupakan hasil dari proses letupan terkawal yang dilaksanakan anggota-anggotanya.
Bangunan di Lubnan runtuh akibat ledakan tepat misil Israel
Tentera rejim Zionis Israel pada Jumaat meletopkan sebuah bangunan yang terletak di Chiyah, di selatan Beirut dalam siri keganasan terbaharunya di Lubnan. Dalam visual menggerikan yang dikongsikan oleh Reuters menyaksikan orang ramai menjerit ketakutan serta terkejut dengan ledakan misil yang berlaku amat pantas.
Makaf sasar sembilan pingat emas Sukan SEA 2027
Skuad karate negara sedang mengatur strategi sebagai persediaan Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027 dengan sasaran sembilan pingat emas.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pencapaian pada 2001 di Kuala Lumpur perlu dijadikan sandaran berbanding kutipan enam pingat emas ketika temasya 2017.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, pencapaian pada 2001 di Kuala Lumpur perlu dijadikan sandaran berbanding kutipan enam pingat emas ketika temasya 2017.
KTMB sediakan 2 ETS tambahan KL Sentral-Padang Besar
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan pergi balik KL Sentral-Padang Besar, sempena sambutan Hari Natal dan cuti sekolah penggal ketiga tahun ini.
Subsidi: Wajar diteruskan, ambil langkah banteras penyelewengan
Dr Barjoyai berkata, subsidi harus diteruskan namun perlu memberi penekanan terhadap usaha membanteras penyelewengan.
Keenakan tart nanas air tangan klien Puspen Jelebu
Tart nanas Bakery Titi Gold setanding produk lain di pasaran, dengan pastri yang gebu dan rasa yang sedikit masin dan berlemak.