Sebagai salah satu usaha untuk melahirkan lebih ramai penulis yang menulis atau membuat kritikan seni, satu inisiatif yang diberi nama Kataseni telah dianjurkan.
Program ini merupakan satu inisiatif terbaru telah dianjurkan selama dua hari berturut-turut. Program ini merupakan kerjasama erat antara Kataseni dan Balai Seni Negara menerusi Tabung Bantuan Seni dengan tujuan untuk memperkukuhkan ekosistem seni tanah air melalui penulisan dan kritikan yang lebih mendalam.
Sebagai sebahagian daripada program ini, para peserta telah dibawa ke pameran ‘Pesan dan Kenangan’ yang dianjurkan oleh Harta Art Gallery, yang menampilkan koleksi seni yang dimiliki oleh Pakharudin Sulaiman, seorang kolektor seni dan peguam yang disegani.
Peserta program diberi peluang untuk melihat dan memahami dengan lebih mendalam karya-karya seni yang dipamerkan, serta berdialog dengan Pakharudin mengenai falsafah dan proses di sebalik koleksinya.
Lawatan kedua pula telah diadakan di Gudang Studio, milik Hamir Soib, seorang pelukis terkenal Malaysia. Di Gudang Studio, peserta program mendapat pendedahan secara langsung tentang proses kreatif Hamir Soib, termasuk pengaruh budaya dan sosial yang mencorakkan karya-karya beliau.
Pengarah Projek Kataseni, Abdullahjones, berkata pihaknya berharap usaha murni ini dapat melahirkan lebih ramai penulis dan pengkritik yang benar-benar memahami tentang seni.
"Program ini adalah satu langkah awal yang penting dalam usaha kita melahirkan penulis dan pengkritik seni yang berkualiti.
“Dengan pendedahan yang lebih mendalam terhadap dunia seni, kita berharap dapat membina satu generasi baru yang bukan sahaja mampu menulis dengan baik tetapi juga mempunyai sensitiviti dan pemahaman yang mendalam terhadap seni itu sendiri," katanya.
Abdullahjones berkata, peserta diminta menulis sekurang-kurangnya dua rencana dan ianya akan disiarkan di portal Senimalaya.com.
Program Kataseni ini juga diharap akan menjadi satu platform yang terus relevan dan bermanfaat dalam usaha memperkasakan industri seni tempatan, serta merangsang lebih banyak dialog dan perbincangan kritikal mengenai karya-karya seni yang dihasilkan oleh seniman tanah air.