PASIR PUTEH: Masjid Mukim Permatang Sungkai, di sini, mengambil inisiatif menanam nanas MD2 secara komersial menerusi koperasinya untuk menjana pendapatan kariah, selain menampung perbelanjaan pembangunan masjid.

Pengerusi Koperasi Masjid Mukim Permatang Sungkai Berhad Azmi Husin berkata tanaman itu diusahakan di kawasan seluas 4.4 hektar melibatkan 13 peserta pada 2022 dan hasilnya mula dituai bulan ini.

Beliau berkata untuk projek sulung berkenaan, pihaknya menanam sebanyak 138,000 pokok nanas di beberapa tanah terbiar sekitar Kampung Permatang Sungkai.

"Kita sudah menjual kira-kira enam tan metrik nanas untuk tuaian pertama dan menjangkakan dapat mengutip hasil kira-kira 280 tan metrik musim ini dengan anggaran nilai jualan melebihi RM1.6 juta," katanya kepada pemberita di Ladang MD2 di kampung berkenaan di sini hari ini.

Menurut Azmi usaha berkenaaan akan diperluas ke kawasan tanah terbiar lain dengan penglibatan lebih ramai peserta dalam kalangan kariah.



Azmi berkata setakat ini, beliau telah mengenal pasti 20 hektar kawasan tanah terbiar baharu untuk mengembangkan projek tanaman itu pada musim seterusnya.

"Projek tanaman ini bukan hanya mampu menjana pendapatan kepada kariah, tetapi juga memanfaatkan perbelanjaan masjid yang ketika ini dalam proses penambahbaikan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Wilayah Timur Mohd Zamani Abdul Ghani berkata terdapat kira-kira 160 hektar tanaman nanas di Kelantan ketika ini dengan penglibatan 200 peserta.

Beliau berkata daripada keluasan itu, hanya 9,600 tan metrik nanas dapat dihasilkan di Kelantan semusim dan jumlah itu tidak dapat menampung permintaan pembeli tempatan.

"Tanaman nanas berpotensi besar untuk diusahakan memandangkan mendapat permintaan tinggi di negeri ini terutama pada musim cuti sekolah, perayaan dan bulan puasa sehingga tanaman ini banyak diimport dari negeri lain," katanya.

Mohd Zamani berkata harga pasaran nanas juga agak tinggi iaitu sekitar RM6 hingga RM8 sekilogram, malah peserta juga berpeluang menjana pendapatan melalui jualan anak benih.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat dan mempunyai tanah digalak menceburi tanaman berkenaan melalui bimbingan pihaknya selain berpeluang mendapatkan bantuan anak benih, baja dan peralatan tanaman.

-- BERNAMA