SETIAP kali menjelang musim perayaan, juadah-juadah ataupun hidangan-hidangan serta kuih-muih tempatan menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Rata-rata, terutama sekali pada bulan puasa dan menjelang Aidilfitri, nafsu makan rakyat Malaysia 'dicabar' dengan bermacam-macam jenis juadah yang hendak dipilih. Sama ada untuk dinikmati sendiri bersama keluarga, mahupun menjadi jamuan para tetamu yang bertandang.

Ketupat palas
Ketupat palas (kiri)adalah juadah penting Hari Raya bagi mereka di Pantai Timur dan onde-onde labu (kanan) antara kuih yang popular selain daripada onde-onde buah Melaka. - Gambar ihsan: Chef Zam

Kekayaan juadah masakan Malaysia melambangkan kekayaan dari segi tradisi berbilang kaum yang menjadi identiti negara ini.

Namun, mengikut sejarah, hasil daripada migrasi, penjajahan kuasa-kuasa asing dan kedudukan geografinya yang strategik menjadikan gaya dan jenis masakan Malaysia hari ini kompleks dan pelbagai dengan pengaruh-pengaruh sekeliling terutamanya tradisi Cina, India, Indonesia dan etnik rakyat Borneo juga British,Thai, Portugis serta Belanda.


Qasidah
Kuih Qasidah, antara kuih tradisional yang klasik, selalu dihidangkan di bulan Ramadhan samada di sebelah Pantai Timur mahupun barat. - Gambar ihsan: Chef Zam

Simfoni rasa yang pelbagai serta unik ini menjadikan Malaysia antara destinasi makanan yang digemari rakyat seluruh dunia.

Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, sudah tentu nya juadah dan hidangan raya menjadi perkara utama di minda setiap isi rumah. Juadah Hari Raya juga membawa nostalgia kepada yang dewasa dalam memupuk tradisi di kalangan yang muda.

Astro AWANI telah menemubual chef selebriti, Zamzani Abdul Wahab ataupun lebih terkenal dengan panggilan Chef Zam bagi menyelami antara juadah hari raya yang wajib ada di musim perayaan yang mulia ini.




Juadah hari raya berbeza mengikut negeri kerana setiap wilayah tradisional Melayu mempunyai makanan tradisionalnya tersendiri. Contohnya, di bahagian Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, kaya dengan juadah seperti nasi dagang, nasi kerabu, keropok lekor dan kuih akok.

Manakala di bahagian Pantai Barat pula seperti Negeri Sembilan, Pahang dan Perak, masakannya adalah seperti gulai tempoyak ikan patin, asam laksa dan gulai lemak cili api.




Bagi anak jati Terengganu ini, Chef Zam sememangnya bersemangat apabila menceritakan juadah negeri kelahirannya dengan penuh rasa bangga. Pengalaman berpuluh tahun dalam kulinari dan masakan, sama ada tradisional mahupun moden, tempatan serta luar negara membolehkan Chef Zam meneliti dan memahami unsur-unsur yang mempengaruhi setiap jenis makanan itu.




Chef Zam yang kini mengepalai akademi memasak yang diasasnya, Silverspoon International College, menekankan bahawa hidangan ataupun juadah tradisional amat perlu dihidangkan di setiap rumah bagi menambahkan lagi kemeriahan hari raya berlandaskan adat budaya dan tradisi masyarakat Melayu.




Dengan adanya pelbagai-bagai resipi yang telah dimodenkan dan yang telah melalui satu arus pembaharuan serta pengaruh budaya barat, masakan tradisional Melayu kini sudah tidak banyak diwarisi. Jadi mungkinkah juadah tradisional masyarakat Melayu ini hilang ditelan zaman?




Bagi Chef Zam, pendedahan merupakan aspek paling penting dalam menobatkan dan mengangkat masakan tradisional masyarakat Melayu ataupun apa-apa jenis juadah tradisional dari Malaysia agar ianya kekal untuk generasi-generasi akan datang.