BUKIT MERTAJAM: Saban tahun, Jalan Pasar di sini menjadi tumpuan puluhan ribu masyarakat Cina yang menganut agama Taoisme dan Buddha bagi menyambut Festival Hantu Lapar atau Phor Thor, yang dirai pada bulan ke-7 kalendar Lunar.

Tahun ini, perayaan itu bermula dari 4 Ogos hingga 2 September depan dengan hari kemuncaknya esok, iaitu hari ke-15 bulan hantu, yang menyaksikan penganut melakukan upacara menyembah dewa roh Di Guan Da Di.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Perayaan Yu Lan Bukit Mertajam Datuk Seri Peh Weng Khim, festival itu merupakan tradisi yang disambut sejak lebih 130 tahun lalu.

Katanya, mengikut kepercayaan agama Taoisme, pintu neraka akan dibuka pada hari pertama bulan itu dan roh nenek moyang yang telah lama meninggal dunia dibenarkan keluar bagi mencari makanan dan hiburan.

"Sambutan di sini meriah, kerana sejak 28 tahun lalu, pertubuhan kita menyediakan tempat khas bersebelahan Tokong Tua Pek Kong bagi memberi peluang penganut melakukan upacara sembahyang," katanya kepada Bernama.



Selain itu katanya, penganut juga membawa makanan dan barangan untuk dijamu dan diberi kepada dewa neraka Tai Su Yeah, roh-roh nenek moyang dan juga roh mereka yang tidak mempunyai keluarga.

Beliau berkata tempat itu dibuka 24 jam sehari selama 15 hari bermula 6 Ogos lalu dan menerima kehadiran lebih 1,000 penganut pada hari-hari bekerja sebelum meningkat hingga lapan kali ganda pada hujung minggu.

"Yang datang bukan sahaja dari seluruh Malaysia, tetapi juga dari luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Singapura, Thailand dan Indonesia," katanya, menambah upacara membakar wang neraka turut dilakukan agar "wang" itu dapat digunakan oleh roh berkenaan di alam neraka.



Selain upacara keagamaan, persembahan hiburan oleh kumpulan opera dari Thailand turut diadakan bagi menghiburkan dewa neraka serta roh yang berkeliaran, bermula 7.30 hingga 11 malam.

Menurut Peh, lokasi itu juga menjadi tumpuan pelancong asing yang tertarik dengan festval serta patung gergasi Tai Su Yeah setinggi 8.96 meter yang diperbuat daripada buluh dan kertas berwarna-warni.

"Setiap tahun kita akan tempah patung gergasi ini dan akan diletakkan di bawah khemah bagi membolehkan penganut berdoa. Selain itu, dewa ini juga akan mengawasi roh-roh yang dibebaskan ke alam manusia," jelasnya, menambah patung tersebut ditempah daripada pembuat di Berapit di sini.

Menurut Peh, patung itu akan diarak ke tengah Jalan Pasar pada malam 20 Ogos ini untuk dibakar dan "dihantar balik ke neraka" dengan disaksikan oleh puluhan ribu penganut.

Sekalipun festival dikaitkan dengan hantu, beliau berkata acara itu lebih kepada pengajaran buat golongan muda tentang kepentingan berbakti, melakukan kebajikan, menghormati, mentaati dan mengambil peduli nenek moyang mereka serta orang lain.

Menurut Peh, sepanjang sambutan, ada beberapa pantang larang yang perlu dipatuhi, antaranya makanan yang diletakkan di tepi jalan tidak boleh dipijak atau disepak atau disepahkan.

Penganut juga tidak boleh keluar rumah lewat malam atau menjemur pakaian di waktu malam, masuk hutan atau berpakaian berwarna merah dan hitam, selain mengelak bermain di pantai atau tasik.

-- BERNAMA/Siti Azila Alias