SESAAT pun Kuala Lumpur tidak pernah tidur. Siangnya ripuh dengan trafik yang sesak berjejal. Malamnya riuh dengan teriakan neon mengerna.

Tapi sebenarnya, tidak semua warga metropolis ini selalu girang meski pun kotanya sentiasa ceria. Ramai yang memendam rasa, dicengkam peminggiran dan keterasingan. Ironi sungguh. Kuala Lumpur tidak pernah sunyi, namun sering dipenuhi manusia sepi.

Mujur juga, kota ini menawarkan bermacam sumber gratifikasi emosi, yang istimewa dan tersendiri. Di tengah-tengah jantung Kuala Lumpur yang paling hedonis pun, tersembunyi terapi gastronomi untuk insan pencari syurga makanan.

Medan selera di Jalan Alor merupakan taman kulinari popular di Bukit Bintang. Daripada sate celup, rampaian seafood dan bermacam jenis panggang, hinggalah pencuci mulut kandi manis seperti alusmitai, aiskrim dan jagung pop.

Menikmati makan tengah malam di gerai terbuka ini, memang sungguh giur dan asyik. Dengan aneka pilihan juadah yang dijual pada harga patut, pengunjung turut disaji muzik jalanan secara live yang membuai-buai.

Makan tengah malam bersama kawan sekerja sungguh giur dan asyik - Foto Ramzah Dambul

Inilah juga nadi kontemporari Kuala Lumpur sebagai hub antarabangsa. Komuniti global membaur dengan begitu mesra dan organik. Berada di sini pada malam minggu yang sesak, memberi satu fantasi sementara — seolah-olah sedang mengembara di negara orang.

Baru-baru ini, saya bersama tiga kawan sekerja dari Putrajaya menyusur kelana gastronomi dan pencarian terapi jiwa di medan selera ini. Selepas menikmati menu rampai bertema makanan laut ala Thai, kami mencicip kopi panas di sebuah kafe francais global. Sambil menghayati konsert jalanan unplugged, yang sayup-sayup kedengaran dari kaki lima di luar.

Ada pelbagai tarikan hedonis, segmen kecil ini menyerlahkan sub budaya urban Kuala Lumpur - Foto Ramzah Dambul

Memang benar, Bukit Bintang ini sebuah arena penuh goda dan gelora pada waktu malam. Ada berbagai-bagai tarikan hedonis, ada bermacam-macam penipuan pengemis. Tapi segmen kecil di jantung Kuala Lumpur ini menyerlahkan satu sub-budaya urban yang signifikan lagi menarik.

Ini satu simbolik paling tuntas untuk mendefinisikan dwi pesona kota yang mencabar. Di dalamnya ada sepi yang tidak pernah mati. Di dalamnya juga, ada terapi yang boleh menyembuhkan seribu duka nurani.


* Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul merupakan seorang birokrat federal, saintis menara gading serta penyair dan pelukis indie.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.