KESABARAN seorang rider Grab Food ketika menghantar makanan yang dipesan pelanggan tanpa mengeluh kepenatan, memberi hikmah buat empunya badan.

Kisah rider orang kurang upaya (OKU) yang dikenali sebagai Rizuam itu tular di media sosial baru-baru ini sekali gus membawa rezeki yang tidak dijangka.

Semuanya gara-gara kelewatan Rizuam menghantar yong tau fu yang ditempah penulis buku dakwah terkenal di Malaysia, Bonda Nor pada 23 Februari lalu.

Dalam posting di Facebooknya, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan menceritakan bagaimana salah sangka yang dialami menyebabkan dia rasa bersalah pada rider tersebut.

"Dia call, saya jawab. Tapi dia senyap. Dia call lagi, saya jawab lagi. Dan dia senyap lagi. Begitulah sampai tujuh kali, sampai saya dah mula geram, dah kenapa dengan rider sorang ni! Main-main ke apa?

"Kemudian Allah gerakkan hati saya untuk buka aplikasi Grab semula. Rupa-rupanya sarat chat box dengan mesejnya. Dia beritahu tak jumpa rumah dan dia seorang rider yang pekak dan bisu. Allahu Rabbi," tulis Bonda Nor.

Tambah beliau, walaupun dah memberi tip pada rider tersebut melalui system Grab Pay, hatinya tetap rasa tak seronok.

"Saya rasa bersalah sebab salah sangka padanya. Oleh itu, saya tuliskan kisah tersebut di Facebook untuk peringatan bersama. Bahkan saya juga menghubungi pihak Grab untuk mengesan rider OKU yang menghantar makanan tersebut,” jelasnya.

Akhirnya, selepas beberapa lama menunggu, Bonda Nor berjaya menemui rider istimewa tersebut pada 2 Mac lalu.

Ditemani dua lagi rakannya yang juga rider Grab Food OKU, Rizuam terharu apabila menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 selain buku motivasi dan planner Semangat yang diterbitkan oleh Bonda Nor Resources.

Rizuam (kanan) bersama Asyraf (kiri) dan Muhsin yang masing-masing merupakan rider Grab Food OKU.

Menceritakan semula insiden tersebut, sahabat Rizuam bernama Asyraf memberitahu:

"Waktu Rizuam nak hantar makanan Bonda tu, dia sebenarnya ada order lain juga nak hantar. Jadi dia kalut sikit sebab tak jumpa rumah, sedangkan dia nak hantar juga makanan customer lain.

"Dia mesej dalam group minta bantuan jika ada rider yang boleh bantu. Tapi kami semuanya jauh. Maka, Rizuam pun hantar order satu lagi sebelum patah balik ke rumah Bonda."

Menurut Asyraf lagi, team runner OKU sangat gigih dan rajin.

“Kami sentiasa kejar job Bonda,” ujar Asyraf sambil menunjukkan carta top ten runner Grab Food Kuala Terengganu yang dimonopoli runner OKU.

Benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.

Status Bonda Nor itu sahaja telah dikongsi oleh lebih 3,300 pengguna dengan ribuan lagi perkongsian lain dibuat netizen daripada sumber portal lain yang memetik kisah tersebut.

“Alhamdulillah, saya sempat umumkan pertemuan ini di grup Akademi Bonda Nor dan team speaker Ekspres-i dan ternyata ramai yang mahu menyelitkan sumbangan buat Rizuam.

“Apa yang paling membuat saya terkesima bila melihatnya datang dalam keadaan kaki terhincut-hincut akibat kemalangan terlanggar kerbau selepas balik kerja pada waktu malam. Allahu Akbar betapa gigihnya dia bekerja mencari rezeki,” luah beliau.

Dalam pada itu, Bonda Nor turut berkongsi kata-kata yang dinukilkan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun tentang OKU pekak dan bisu dalam tulisannya yang viral itu.

“Mereka sangat mulia Bonda. Mulut mereka tidak pernah menyakiti orang lain. Telinga mereka tidak pernah bermaksiat.”

Sebelum berpisah, Bonda Nor sempat memuji golongan rider OKU ini dan berharap khalayak mendapat inspirasi daripada kegigihan mereka.

“Semoga Syurgalah buatmu anak-anak! Allah uji kamu semua dengan sedikit kekurangan, tapi ternyata kamu tidak pula berputus asa, tidak hidup meminta-minta. Bahkan usaha kamu sangat luar biasa mengalahkan kami yang sempurna sifatnya. Hari yang indah buat kami atas jalinan takdir Allah dan ukhuwah ini. Alhamdulillah.”


AWANI Pagi: Dakwah santai dengan menulis

Bonda Nor merupakan pengasas Kaedah Membaca Ekpres-i dan Ekspres-i Reading yang mempunyai puluhan speaker di seluruh negara.

Beliau juga telah menghasilkan berpuluh-puluh buah buku motivasi yang mencatat jualan best-seller.

Antara buku terlaris beliau ialah Be Strong terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !