KEBAHAGIAAN bermaksud kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan sosial seseorang individu.

Bagi kanak-kanak, kebahagiaan mereka akan terjejas apabila perkembangan sosial mereka terbatas.

Pakar Psikologi yang juga Timbalan Presiden Majis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia , Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi impak kepada kebahagiaan umum termasuk kanak-kanak.

"Mereka tidak boleh keluar rumah, apabila mereka tidak boleh keluar rumah, mereka tidak boleh bermain dengan kawan-kawan, tidak boleh bersembang, ini meninggalkan kesan terhadap perkembangan emosi perkembangan sosial kepada kecerdasan mental," katanya.

Emosi kanak-kanak akan terganggu tambahan pula dengan beban baharu, berdepan proses pembelajaran dari rumah akan menjejaskan kestabilan emosi dan sosialisasi mereka.

"Mereka ini kanak-kanak yang aktif, dan di sini ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan ceria, sihat dan berada dalam keadaan seperti biasanya sebelum COVID-19," katanya.

Apabila kanak-kanak ini berasa emosi tidak stabil dan pergerakan fizikal terbatas, ini membuatkan mereka stres dalam diam.

"Apabila stres, mereka akan mula memberontak, mengganggu adik-adik yang lain, tidak mematuhi arahan ibu bapa, apatah lagi perlu melalui pembelajaran dalam talian," katanya lagi.

Apabila kanak-kanak tidak bebas, terutamanya tiada aktiviti yang disediakan ibu bapa, kebahagian mereka akan terjejas.