NAMPAK gayanya, seorang pemain bola sepak sebuah pasukan di Afrika Selatan mempunyai satu 'tugasan' tambahan apabila terlepas cakap dalam satu temu bual pasca perlawanan.

Mohammed Anas, yang bermain untuk kelab Free State Stars, dipilih sebagai Man of the Match (pemain terbaik perlawanan) selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan menentang Ajax Cape pada Jumaat.

Dalam temu bual yang disiarkan secara langsung itu, Anas berkata dia sangat menghargai sokongan peminat, sebelum mengucapkan terima kasih untuk isteri dan teman wanitanya.


"Terima kasih atas pemilihan ini, saya hargai sokongan peminat. Isteri saya dan teman wanita saya....maksud saya isteri saya, maaf," kata Anas.

Anas seperti tidak dapat menyembunyikan rasa gelabahnya apabila tersasul, dan sempat mengungkapkan kata-kata cinta buat isterinya.

"Saya minta maaf, saya cintakan awak. Saya sangat cintakan awak, jujur dari hati saya," tambah Anas.

Apapun, nampaknya Anas kini perlu memberi penjelasan kepada isterinya berhubung kenyataan yang dibuatnya itu.