Kempen #diaadalahkita yang dilancarkan netizen untuk membantu seorang lelaki etnik Rohingya, mendapat sambutan hebat.

Kempen itu dimulakan pengguna Facebook, Mohd Faiz, selepas dipertemukan dengan Mohamad Abrar di hospital.

Abrar berasal dari Myanmar, namun sudah lebih 10 tahun menetap di Malaysia.

Dalam status yang dimuat naik pada 8 Disember lalu, Faiz menceritakan, isteri Abrar yang baru sahaja melahirkan anak sulung mereka, tiba-tiba sahaja tidak dapat melihat.


Hasil pemeriksaan imbasan CT menunjukkan ada sesuatu di bahagian belakang otak isteri Abrar. Namun untuk mengetahui dengan lebih terperinci, ujian MRI perlu dijalankan.

Kos imbasan CT sahaja sudah memakan kos RM2,200. MRI pula memerlukan Abrar menyediakan kira-kira RM4,000.

Sebagai seorang pemotong rumput, Abrar tidak mempunyai wang sebanyak itu.

Atas rasa kemanusiaan, Faiz melancarkan kempen #diaadalah kita dan menyeru warga media sosial menghulurkan bantuan untuk membantu Abrar.

Hasilnya, lebih RM165,000 berjaya dikumpul untuk diserahkan kepada Abrar dan keluarganya.

Faiz turut berkongsi cerita menarik kemurahan hati rakyat Malaysia, di mana ada dalam kalangan penderma yang sanggup berpuasa dari merokok semata-mata mahu menderma, di samping seorang penderma yang membuat sumbangan menggunakan tambah nilai telefon bimbit kerana belum mendapat gaji.

Ia sekali gus menunjukkan betapa rakyat malaysia sememangnya mempunyai rasa simpati dan empati yang sangat tinggi.