PENGGEMAR apam balik di Lembah Klang terutama yang tinggal di Shah Slam dan Klang pasti biasa mendengar atau membeli 'Apam Balik Istana'.

Tapi, tahukah anda cerita di sebaliknya?

Pemilik dan pengasas 'Apam Balik Istana', Norzaidi Nordan bukan sahaja berjaya sebagai peniaga malah berjaya membantu orang muda lain untuk berniaga.

Menggunakan modal sendiri, Norzaidi yang baru berusia 31 tahun kini memiliki tujuh cawangan dengan pendapatan harian empat angka.

Norzaidi, atau lebih dikenali penduduk sekitar Jalan Kebun sebagai Bob, membuat keputusan berhenti kerja pada usia 23 tahun.

"Saya dulu penghantar surat, 'despatch', lama juga saya bekerja, dalam sembilan tahun.

"Selepas itu bila sudah lama kerja, saya mula rasa bosan. Kebetulan saya memang minat berniaga, dan sejak itu saya mula memasang tekad," katanya.

Norzaidi menggunakan dapur dengan 18 kuali sekali gus di gerainya. Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Jelasnya, biarpun perniagaan tersebut biasanya dilakukan golongan yang berusia, namun dia yakin mampu melakukannya.

"Kebiasaannya, yang buat apam balik ni orang Minang dan berusia. Biasanya mereka jual menggunakan dapur tiga kuali, dan ada juga guna enam kuali.

"Tapi saya cuba guna dapur 18 kuali sekali jalan. Alhamdulillah sampai sekarang dapat sambutan," ceritanya.

Menurut Bob, produknya diberikan nama sebegitu rupa kerana beliau banyak melakukan kerja-kerja katering membantu rakannya di Istana Alam Shah, Klang, mencetuskan nama Apam Balik Istana.

"Pada 2010 saya mula kumpul duit dan saya buat sendiri tanpa bantuan sesiapa.

"Modal asal saya beli dapur saja, dapur satu set RM5,000, selepas itu saya kumpul lagi.

"Sekarang ini, alhamdulillah, saya sudah ada 10 set dapur," jelasnya.



Jelas anak jati Jalan Kebun ini, Apam Balik Istana ada keistimewaan tersendiri.

Apa yang lebih menarik, idea berniaga dan bancuhan istimewa itu diperolehnya melalui internet.

"Saya dapat resipi itu di internet dan kemudian saya olah menjadi resipi saya sendiri.

"Resipi saya berbeza dengan yang ada di pasaran. Saya guna bijirin kering atau 'nestum' dan tak pakai kacang. Sebab, kacang, orang tua tak boleh makan, takut dapat sakit 'gout', dan perempuan tak boleh makan, sebab jerawat. Jadi bila pakai nestum, semua boleh makan," jelasnya.

Norzaidi kini mempunyai tujuh cawangan gerai Apam Balik Istana. Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Dengan hasil berjimat dan perancangan jitu, perniagaan Bob hari ini mampu mencecah RM1,000 sehari pada satu-satu masa.

"Alhamdulillah sambutan memberangsangkan. Daripada satu, kini sudah berkembang kepada tujuh cawangan dan insyaAllah saya akan buka lagi cawangan selepas ini," jelasnya.

Bob menasihati rakan seusia, khususnya di Sungai Kandis, agar tidak menghabiskan usia muda tanpa sebarang hasil yang boleh membawa kejayaan diri dan berusaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.