LONDON: Para pekerja di Zoo London bertungkus-lumus pada Khamis lalu untuk memastikan setiap haiwan yang berada di pusat itu - dari gorila, penguin hinggalah kepada serangga bak ranting - mengikuti acara timbang berat tahunan.

AP melaporkan, petugas zoo melakukan pelbagai helah dan kaedah bagi membawa haiwan-haiwan berkenaan naik ke atas mesin skala penimbang.

Antaranya dengan 'mengumpan' monyet tupai dengan makanan, memindahkan tarantula ke dalam mangkuk khas, dan menggunakan batang kayu dengan aroma kari untuk 'menggoda' harimau Sumatera agar meregangkan tubuhnya.



Kumpulan pekerja Zoo London, yang menjadi habitat kepada kira-kira 14,000 haiwan, memerlukan tempoh beberapa hari untuk selesai menimbang dan mengukur saiz setiap mamalia, burung, reptilia, ikan dan haiwan invertebrata lain dalam jagaan. Semua hasil catatan akan direkodkan dalam pangkalan data yang kemudiannya dikongsi bersama zoo-zoo di seluruh dunia.

“Kami rekodkan statistik penting setiap haiwan di zoo ini - dari zirafah tertinggi hinggalah ke berudu paling kecil," ujar ketua operasi zoologi, Angela Ryan.



Tambahnya, berat setiap haiwan merupakan maklumat penting yang akan menentukan tahap kesihatannya, termasuk juga jika ia sedang bunting.

“Kami juga ada ada haiwan yang terancam kritikal di sini. Maka, sangat perlu bagi kami menguruskan hidupan-hidupan ini, menguruskan kesihatannya, berupaya membiakkannya dengan baik dan menghasilkan zuriat yang mampu untuk terus membiak.