Diabetes atau lebih dikenali kencing manis, bukan lagi penyakit asing dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Malah boleh dikatakan kebanyakan daripada kita sudah sedia maklum mengenai penyakit yang berkait rapat dengan pengambilan karbohidrat (gula, nasi dan lain-lain) secara berlebihan mahupun amalan gaya hidup tidak sihat.

Biarpun demikian, agak menghairankan apabila masih ada majoriti besar masyarakat memandang ringan terhadap penyakit kronik itu.

Ini dapat dilihat apabila statistik jumlah penghidap diabetes negara menyaksikan peningkatan kepada 17.5 peratus pada 2015 berbanding 15.2 peratus pada 2011 dan 11.6 peratus (2006).

Keadaan ini begitu membimbangkan. Apatah lagi apabila masih ada yang terus selesa dan tidak mahu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, dan menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai tidak tahu mereka sebenarnya penghidap diabetes.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015, mendapati 1.8 juta daripada 3.5 juta individu dewasa yang menghidap diabetes di negara ini tidak mengetahui mereka mempunyai penyakit itu.

BAHAYA

"Laporan kesihatan menunjukkan golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun yang menghidap diabetes semakin meningkat. Keadaan ini menggusarkan kerana kebanyakan mereka tidak tahu ada diabetes.

"Ini kerana, mereka akan mengambil makanan ikut suka hati ditambah pula dengan gaya hidup tidak aktif yang diamalkan sekarang ini. Apabila lambat mengesan penyakit dan mendapatkan rawatan, diabetes akan mendedahkan mereka kepada pelbagai komplikasi.

"Antara risiko utama penyakit ini adalah penyakit jantung koronari, angin ahmar, kerosakan organ seperti buah pinggang, buta penglihatan dan kehilangan kaki," kata Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin kepada Bernama.

Diabetes atau penyakit yang kerap kali disifatkan sebagai pembunuh senyap ini adalah keadaan di mana paras gula/glukos di dalam darah seseorang itu melebihi tahap normal berikutan kegagalan kelenjar pankreas untuk mengeluarkan hormon insulin yang secukupnya.

Tidak boleh dipandang ringan, kehadiran insulin ini amat penting kerana ia akan menyalur setiap makanan yang telah diproses menjadi glukos ke dalam sel-sel badan bagi mengeluarkan tenaga.

Bagaimanapun, bagi pesakit diabetes, organ pankreas mereka tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya ataupun jumlah insulin yang dikeluarkan itu kurang berkesan.

Keadaan tersebut membuatkan glukos tidak dapat masuk ke dalam sel badan, sekali gus terkumpul di dalam darah yang kemudian menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga melimpah ke dalam air kencing, yang mana ia dikenali sebagai diabetes.

PUNCA UTAMA JANTUNG

"Terdapat dua jenis diabetes. Jenis pertama, kerosakan pankreas daripada mula lagi menyebabkan ketiadaan langsung hormon insulin dalam badan. Manakala jenis kedua, badan tidak mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk mengawal paras gula dalam darah.

"Di Malaysia, diabetes jenis kedua paling ramai iaitu merangkumi 98 hingga 99 peratus daripada jumlah pesakit diabetes," ujar Prof Dr Nor Azmi yang juga Pakar Perunding Perubatan Diabetes dan Endokrinologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah yang tidak terkawal boleh mendedahkan pesakit dengan pelbagai masalah kesihatan sepanjang hayat.

Bahkan, paling menakutkan apabila ia boleh mengakibatkan maut dalam bentuk serangan penyakit jantung koronari sekiranya melengah-lengahkan rawatan!

Di peringkat global, diabetes menjadi satu daripada faktor utama penyakit kardiovaskular yang adalah punca utama kematian di serata dunia terutamanya dalam kalangan negara membangun.

Manakala di Malaysia, 35 peratus punca kematian adalah disebabkan penyakit kardiovaskular yang mana hampir 69 peratus daripada mereka mempunyai diabetes.

UJIAN MUDAH

Justeru, segala simptom berkaitan dengan kencing manis seperti letih, kerap kencing terutama waktu malam, sentiasa rasa dahaga perlu diberi perhatian serius.

Apatah lagi, Malaysia berada di tangga pertama di rantau Asia Tenggara sebagai negara yang mempunyai peratusan paling tinggi pesakit diabetes.

Memandang berat senario berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha mengukuhkan perkhidmatan rawatan pesakit diabetes di Malaysia.

Ini termasuklah melancarkan 'Clinical Practice Guideline Management of Type-2 Diabetes Mellitus' Edisi ke-lima semasa Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Ia adalah garis panduan amalan klinikal rawatan penyakit diabetes dan paling menarik ujian mudah mengesan penyakit itu yang dikenali sebagai A1c turut diperkenalkan.

"Dokumen ini akan menjadi dokumen rasmi yang dapat memberi panduan kepada anggota kesihatan sama ada dari pihak kerajaan, swasta, mahupun universiti bukan sahaja untuk memberi perawatan terbaik dan berkesan kepada pesakit diabetes.

"Malah, untuk menjalankan saringan dan pencegahan yang berkesan di peringkat kesihatan primer," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. Bagi tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih slogan Tumpaskan Diabetes: "Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan Mantapkan Saringan" sebagai tema sambutan Hari Kesihatan Sedunia tahun ini.

LAGI TEPAT

Mengulas mengenai ujian mudah diabetes, Prof Dr Nor Azmi berkata mengesan penyakit itu sebelum ini agak sukar kerana memerlukan seseorang itu berpuasa selama lapan jam sebelum menjalani ujian darah glukos.

"Selain berpuasa lapan jam untuk memeriksa tahap glukos di dalam darah, ada dalam keadaan tertentu memerlukan mereka mengambil minuman yang mengandungi 75 gram glukos di dalam cawan 300ml.

"Ia, perlu dihabiskan dalam tempoh masa tiga hingga lima minit. Kemudian, mereka tidak boleh balik atau berjalan ke sana ke mari kerana itu akan memberi kesan kepada tahap glukos di dalam badan.

"Sebaliknya, perlu duduk diam-diam dalam tempoh dua jam dan selepas itu baharu ambil lagi satu ujian darah glukos. Tidak ramai yang sanggup menjalani ujian yang rumit dan berperingkat-peringkat ini," katanya.

Berbanding penggunaan ujian darah A1c, diabetes dapat dikesan dengan lebih tepat, mudah serta tidak memerlukan mereka berpuasa ataupun meminum air glukos.

Malah, keputusannya pun cepat dalam masa dua jam dan ini diharap dapat menarik minat 1.8 juta daripada 3.5 juta pesakit diabetes di negara ini yang tidak tahu mereka ada penyakit itu untuk tampil membuat pemeriksaan.

"Ujian glukos di dalam darah yang digunakan untuk mengesan diabetes sebelum ini hanya mengukur tahap glukos dalam saluran darah yang hanya mencerminkan tahap glukos pada sesuatu ketika sahaja.

"Berbanding A1c, ujian ini akan mengukur purata tahap glukos di dalam sel-sel darah merah yang mempunyai jangka hayat selama tiga hingga empat bulan dan keputusannya lebih tepat," katanya.

NEGARA PERTAMA DI ASIA

Justeru, dengan termaktubnya A1c sebagai antara satu ujian darah mengesan diabetes di negara ini, ia telah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di benua Asia yang berbuat demikian.

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat, Eropah dan New Zealand sahaja yang mengguna ujian A1c sebagai satu kaedah mendiagnosis diabetes.

Manakala negara Jepun, hanya membenarkan penggunaan ujian A1c jika ianya disertakan serentak dengan ujian glukos selepas lapan jam berpuasa dan selepas minum 75 gram glukos, bukan bersendirian dan berasingan.

Untuk makluman, perkhidmatan ujian darah A1c ini sudah boleh diperoleh di mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan dan swasta.