PENGUSAHA dan pemilik kilang pau, Nurain Abd Mokhti berkongsi beberapa tip untuk individu yang berminat membina jenama perniagaan sendiri terutama pengilang jenama makanan.

Hampir 15 tahun berpengalaman sebagai pengilang, pemborong dan pengedar pau sejuk beku pasaran dalam dan luar negara, Nurain berkongsi dengan Astro AWANI lima kesalahan yang sering dilakukan pengilang mikro di peringkat awal.

1) Jual terlalu murah

Ada pengilang yang sanggup menjual produk mereka pada harga yang sangat murah asalkan produk habis terjual. Elak langkah ini kerana ia akan ‘menjerut’ diri sendiri. Nak balik modal pun tak lepas nanti, apatah lagi nak bayar gaji sendiri dan pekerja di kilang anda nanti. Buat pengiraan kos dengan teliti, kalau tiada untung, biarlah balik modal.



2) Sertai acara gah

Melainkan untuk pergi buat jualan luar biasa, elak hadiri acara gah tanpa objektif jelas. Kawal aliran duit keluar masuk dengan baik. Ini kerana di acara gah akan ada kos tersembunyi. Tetapi anda boleh hadir sebagai pelawat, gunakan peluang untuk luaskan kenalan dan rangkaian.

3) Tiada produk 'niche'

Pilih produk niche. Setiap jenis produk perlukan game plan dan struktur kos yang berbeza. Kepelbagaian pada peringkat awal akan buat anda 'serabut'. Fokus jual yang ada dulu, bila dah untung baru tambah produk lain.

Kredit: FB Ain's Treat

4) Tak kongsi sebab malu 

Ada masalah, kongsi dengan pemain industri yang dipercayai untuk khidmat nasihat. Jangan malu untuk kongsi masalah yang pada awalnya kita rasa kecil tetapi lama-lama ia mungkin buat perniagaan anda terjejas teruk. Lumrah, manusia hidup dengan pelbagai kebolehan. Pasti ada yang sudi bantu beri tunjuk ajar.

5) Kenal pasti perbelanjaan 

Jangan 'mati' dulu sebelum sampai masa. Kenal pasti tahap kewangan kita perlu ada untuk bertahan, keperluan masukkan dalam kos dalam Ringgit Malaysia seterusnya baru letak sasaran keuntungan yang perlu dicapai untuk bulan itu.