JERTIH: Ketibaan musim buah kerdas sangat dinanti-nantikan tiga sahabat dari Kampung Pak Sik dekat Hulu Besut di sini, kerana ia menjadi sumber pendapatan tambahan buat mereka.

Buah kerdas atau juga dikenali dengan panggilan buah genuak merupakan tumbuhan liar di kawasan hutan yang enak dimakan sebagai ulam bersama nasi.

Abd Rahman Hamid, 58, berkata apabila tiba musim buah kerdas, beliau bersama dua rakannya Mat Husin Ibrahim, 65, dan ZuzazuwanTalib, 42, akan masuk ke dalam hutan di sekitar kampung mereka setiap kali musim buah kerdas yang bermula pada bulan Mac sehingga Jun setiap tahun.

"..pendapatan kami bertiga sebagai penoreh getah tidak menentu buat masa ini. Jadi jualan buah kerdas ini sedikit sebanyak dapat membantu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Sik dekat Hulu Besut, di sini.

Beliau berkata apabila tiba musim buah itu, hampir setiap hari mereka bertiga akan keluar rumah seawal 9 pagi dan berjalan kaki masuk ke dalam hutan sehingga sejauh lebih 10 kilometer untuk mencari pokok kerdas dan pulang ke rumah sekitar 6 petang.



"Walaupun Mat Husin lebih tua dalam kalangan kami bertiga, tetapi kerana kudratnya yang masih kuat selain cekap memanjat menyebab tugas memanjat pokok yang setinggi sehingga 20 meter diberikan kepadanya," katanya.

Beliau berkata lazimnya mereka memperoleh hasil sekitar 50 kilogram buah kerdas setiap kali memasuki hutan dan kemudian dijual kepada peraih pada harga RM4.50 sekilogram sebelum wang hasil jualan dibahagikan sama rata.

Sementara itu Mat Husin berkata walaupun sudah bergelar warga emas tetapi kerana sudah biasa memasuki hutan menyebabkan dia tidak berdepan masalah meskipun perlu mendaki bukit dan memanjat pokok.

Mat Husin berkata selepas musim buah kerdas tamat dia dan rakan-rakan akan kembali melakukan rutin kerja mereka seperti menoreh getah dan berkebun.

-- BERNAMA