Ketika tingkat 4 pusat membeli-belah Centre Point di sini dipenuhi rata-rata remaja dan lelaki dewasa, turut dilihat ibu bapa yang menemani anak-anak mereka bagi menyaksikan sendiri Kejohanan Borneo e-Arena hari ini.

Bagi pesara guru tadika, Tan Chew Min, 52, beliau percaya anak-anaknya memerlukan ruang untuk berehat selepas bertungkus-lumus mengulang kaji pelajaran.

“Anak-anak saya suka permainan video. Jika mereka tahu ada acara berkaitan dengan permainan video yang berdekatan, saya akan membawa mereka.

“Mereka kadang-kadang nampak tertekan apabila belajar. Jadi saya harap dengan membawa mereka ke acara kejohanan permainan video ini, tekanan mereka kurang,” katanya kepada Astro AWANI di sini.

BACA: Borneo e-Arena rai peminat e-sukan Sabah


Jelas Tan lagi, ia bukan satu masalah untuk membawa anak-anaknya ke Kota Kinabalu walaupun perjalanan dari rumahnya di Kota Belud mengambil masa selama dua jam.

“Mereka perlu diberi satu ruang masa untuk berehat supaya minda dan pemikiran menjadi lebih luas,” jelasnya yang tidak lokek dengan senyuman.

Tan mempunyai dua orang anak, masing-masing berusia 15 dan 11 tahun.

Borneo e-Arena peringkat akhir yang berlangsung sejak semalam menawarkan hadiah wang terkumpul keseluruhan bernilai RM150,000.

Kejohanan ini mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Sabah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.