PARIT BUNTAR: Pemandangan unik dua dalam satu iaitu laut dan sawah padi yang dipisahkan oleh jalan kecil berturap di tengah-tengahnya boleh memukau sesiapa sahaja.

Deretan batu yang dibina di tebing menjadi penampan kepada ombak dan hakisan air laut, menjadikan suasana di sini tambah menarik, bak lukisan 3D.

Keindahan Ban Pecah yang terletak di Tanjung Piandang bahagian utara Perak ini tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan ia sudah 'mendunia' dengan keadaan geografinya.

Sudah semestinya lokasi ini ibarat syurga atau 'port' terbaik bagi kaki pancing dari serata negeri di Malaysia memandangkan terdapat pelbagai spesies ikan yang ada di sini khususnya sembilang dan pari.

Menurut salah seorang penjaja kecil di sekitar dataran Ban Pecah, Kamaruddin Basari, 54 tahun, kerja-kerja naik taraf yang dijalankan di kawasan tersebut sebelum ini berjaya menghidupkan aktiviti pelancongan di daerah itu.

Namun begitu, dia yang sudah enam tahun mengusahakan gerai di kawasan pelancongan itu berpendapat masih ada beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan seperti lampu jalan dan bangku rekreasi untuk pengunjung.





"Sejak kawasan Ban Pecah dinaik taraf, Alhamdulillah ia mampu beri limpahan ekonomi kepada penduduk dan peniaga. Sebelum itu nak dapat RM70-RM80 pun agak susah.

"Paling ramai Jumaat sampai Ahad, boleh kata sesak jalan di sini. Kalau boleh pasang lampu untuk keselamatan di waktu malam sebab gelap, lagipun jalan agak sempit.

"Kalau ada pun dua tiga saja (lampu), itu pun untuk nelayan. Lagi satu kekurangan bangku, sebab pengunjung tiada tempat nak duduk dan bersantai," katanya ketika ditemui. 



Seorang lagi penduduk di sini Norizah Said, 37 tahun, berkata dengan kerancakan sektor pelancongan di Ban Pecah, ia sekali gus membuka peluang pendapatan kepada masyarakat.

"Apa yang boleh kita naik taraf mungkin jalan sebab ia terlalu sempit untuk laluan kereta, ada laluan yang hanya muat untuk sebuah kereta, yang satu lagi perlu tunggu.

"Kalau ada gazebo atau pondok rehat untuk kegunaan pengunjung lebih baik, ada kawasan untuk bersantai," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, sehingga kini terdapat kerja-kerja naik taraf dilaksanakan daripada peruntukan berjumlah RM500,000 yang diperoleh sebelum ini.

Jelasnya, ia merangkumi kerja naik taraf tempat gerai penjaja serta dataran di situ.

"Berkenaan lampu jalan, kita sudah panjangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak tahun lepas. Rasanya ia akan dilaksanakan sekali dengan projek naik taraf tersebut.

"Untuk bangku dan pondok memang ada cadangan dan permintaan daripada orang ramai, tetapi buat masa ini kekangan daripada segi peruntukan.

"Sini memang rancak dengan aktiviti memancing, dulu sebelum COVID-19 memang dianjurkan program memancing saban tahun, tetapi sekarang agak perlahan.

"Bergantung kepada cuaca dan musim tertentu bila ikan banyak, kalau di tepi Ban Pecah memang banyak ikan seperti sembilang, siakap dan pari, itu tarikannya," katanya.





Tambahnya lagi, nelayan tempatan juga kini mengambil peluang untuk menyediakan perkhidmatan sewa bot kepada pemancing untuk ke kawasan tumpuan ikan.

Beliau menambah, jumlah pengunjung ke sini pada hujung minggu atau cuti sekolah anggarannya boleh mencecah sehingga 4,000 orang sehari.

"Kalau hujung minggu dari 5 petang sampai 7 malam memang sangat sesak, kalau orang tempatan memang ramai tahu dan naik motosikal saja tetapi bagi pengunjung yang bawa kereta memang agak sukar.

"Jalan di Ban Pecah ini, yang memisahkan laut dan sawah padi ini sebenarnya jalan milik Jabatan Pengairan dan Saliran. Kalau boleh kita mohon mereka pertimbangkan untuk naik taraf jalan itu.

"Tetapi kita faham kos yang diperlukan itu tinggi sebab jaraknya jauh sehingga 14 kilometer iaitu meliputi kampung nelayan Kuala Kurau hingga Tanjung Piandang.

"Saya harap pihak kementerian yang berkaitan melihat potensi yang ada dan harapnya ada peruntukan lebih disalurkan untuk pembangunan infra di sini," katanya lagi.