BERSEDIALAH untuk memuat naik atau berkongsi artikel yang bersifat intelektual dan bermanfaat selepas ini kerana ia mungkin menjadi salah satu kriteria sebelum anda ditawarkan sebarang pekerjaan.

Berdasarkan satu kajian, Kaunselor Kanan Kaunselor Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Saiful Redza Mohamed, berkata beberapa majikan akan menyemak akaun Facebook calon pekerja sebelum membuat tawaran pekerjaan.

“Jika anda tidak memiliki Facebook, mereka akan menganggap anda sebagai seorang anti-sosial.

“Jika gambar profil bukan gambar diri sendiri, mereka akan menganggap anda sebagai seorang yang kurang berkeyakinan, "jelas Saiful seperti dipetik daripada portal IIUM Today.

Menurut Saiful, ia adalah satu prosedur bagi syarikat-syarikat tertentu untuk menilai bakal pekerja mereka melalui media sosial.

“Mereka akan menilai tingkah laku anda dan cara anda berfikir melalui apa yang telah dikongsikan di media sosial.”

Beliau berkata para pelajar kini perlu lebih bijak dalam mengendalikan akaun sosial masing-masing.

Tambah Saiful, pelajar sudah sepatutnya mula berkongsi informasi ataupun kajian berkenaan kerjaya serta industri impian mereka di akaun sosial mereka.

Hal ini kerana, perbuatan ini akan meningkatkan keyakinan majikan untuk memilih mereka sebagai sebahagian daripada majikan tersebut.

Saiful juga menegaskan bahawa sesebuah syarikat juga akan mengelak daripada melantik orang-orang yang terlalu sosial kerana ia amat penting untuk menjaga nama baik syarikat serta memastikan rahsia syarikat akan dilindungi.



Artikel asal ditulis oleh Wafa Awla dalam portal IIUM Today yang merupakan sebuah portal kendalian Universiti Islam Antarabangsa bagi memberi informasi-informasi terkini kepada para pelajar.