BAHASA bersifat dinamik, berkembang dan hidup. Bahasa boleh dicerap melalui penulisan dan perbualan, komunikasi tulisan dan lisan.

Di alam Melayu, peribahasa ‘hilang bahasa lenyaplah bangsa’ bermaksud apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi maka lambat laun akan hilanglah bangsa itu; hilang budi bahasa hilanglah derajat (darjat) diri (Kamus Istimewa Peribahasa Melayu). Kamus akan merakamkan entri sastera lama atau bahasa kuno dengan penandaan sl dan ark.

Oleh yang demikian, amatlah rugi jika istilah lama ini tidak dipedulikan kerana dibimbangi akan terus lenyap ditelan pemodenan. Apatah lagi apabila penyerapan istilah Inggeris yang dipadankan dengan kesesuaian setempat semakin tergalak.

Pembentukan istilah dalam bahasa Melayu dipengaruhi oleh bahasa asing melalui peminjaman kata. Antara bahasa asing yang dipinjam ialah bahasa Inggeris, Arab, Portugis, Belanda dan Sanskrit.

Bahasa Sanskrit dan bahasa Melayu kuno yang merupakan bahasa lama atau yang bersifat klasikal sudah jarang-jarang digunakan.

Terdapat banyak istilah lama yang tidak lagi digunakan dalam penulisan dan perbualan masa kini sedangkan penggunaannya masih lagi relevan. Sewajarnya penggunaan kosa kata lama ini dikembalikan semula dalam jagat maya ini apatah lagi apabila gaya hidup pada hari ini semakin terbuka.

Antara istilah bahasa Melayu klasik yang molek, indah dan unik ialah ‘wangsa’ (bangsa, keturunan), ‘perjaka’ (jejaka), ‘mutia’ (mutiara), ‘bahari’ (bijaksana), ‘petung’ (buluh), ‘kirana’ (sinar), ‘ratna’ (intan), ‘kencana’ (emas), ‘loka’ (dunia). Jenis  warna juga mempunyai pelbagai nama seperti ‘tampus’ (kuning kemerah-merahan), ‘kebam’ (putih kebiru-biruan), ‘wilis’ (biru kehijau-hijauan), ‘jerau’ (merah gelap), ‘jahang’ (merah tua), ‘tarum’ (biru tua).

Penggunaan istilah seumpama ini akan menyerlahkan lagi nilai estetika dalam penulisan prosa dan puisi, teks ilmiah, pidato umum serta penamaan kawasan dan bangunan. Kosa kata ini melambangkan perluasan pembacaan bagi seseorang pengarang atau pembicara.

Penggunaan istilah lama ini merupakan suatu kelainan dalam sesebuah karya kerana diksi yang digunakan mampu mengembangkan pemikiran pembaca dan memberi percambahan fikiran.

Binalah imej pengarang berjiwa Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu lama yang unik dan cantik.

Mungkin agak janggal jika digunakan dalam komunikasi harian namun boleh saja diamalkan dalam konteks tertentu. WB Rendra antara penyair Malaysia yang gemar menggunakan diksi-diksi indah dalam puisinya.
   
Seperti seorang bidadari
datang dengan wangi kasturi
membawa dian menyuluh hari-hari.

       (Bidadari Yang Pergi, 2007).

Kosa kata lama dan klasik ini juga disaran diletakkan sebagai penamaan jalan, taman perumahan, nama bangunan dan tempat awam. Keindahan kata seperti ‘pura’ (kota), ‘panca’ (lima), ‘puspa’ (bunga/mahkota) jarang-jarang kedengaran dan diguna pakai. Walhal jika diangkat sebagai nama tempat alangkah, indahnya!

Contohnya Megapura Angsana (pusat beli-belah), Taman Inderaloka (taman perumahan), Jalan Panca Delima (nama jalan), Astaka Opera (pentas teater).

Hal ini akan lebih menonjolkan citra wangsa yang bersifat Malaysiana berbanding dengan penamaan bangunan, taman dan tempat awam dalam bahasa Inggeris.

Sebagai negara yang telah mencapai usia 64 tahun selepas merdeka daripada penjajahan, kita harus sedar bahawa bahasa itu citra bangsa.

Sebagai umat Nusantara pula kita harus menyanjung tinggi bahasa Melayu yang telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Bahasa kita maruah kita. Kita perlu menurut resam dan peraturan di tempat kita berpijak.



* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.