UMUM mengetahui aplikasi mudah alih TikTok sememangnya popular pada ketika ini terutamanya dalam kalangan anak muda.

Dengan pelbagai jenis rentak muzik terkini dan rutin tarian yang menarik, semestinya golongan milennial tidak melepaskan peluang mengikuti ‘trend’ dan ‘challenge’ di dalam aplikasi ini.

Namun, tahukah anda terdapat beberapa rutin tarian popular di aplikasi itu yang diklasifikasikan sebagai 'berbahaya' untuk dilakukan di dalam rumah?

Eh kenapa? Untuk pengetahuan anda, sebuah laporan kaji selidik yang dijalankan oleh syarikat insurans Compare The Market mendapati bahawa kira-kira 18 peratus responden mengakui bahawa mereka pernah merosakkan harta benda dalam kediaman mereka ketika melakukan gerak tari dalam aplikasi popular itu!

Kaji selidik berkenaan dilakukan ke atas 2,000 responden, yang juga mengakui bahawa mereka pengguna aplikasi TikTok.

Lebih mengejutkan, kaji selidik itu turut mendapati terdapat beberapa rutin tarian yang ‘berisiko tinggi’ untuk dilakukan di rumah.

Antara rutin tarian yang berisiko tinggi dilakukan di rumah adalah "Savage," "Something New" dan "Lean With It".

BACA: Terjun jambatan gara-gara TikTok

BACA: Bintang TikTok India ditemui mati, dipercayai bunuh diri


Malah, menurut kaji selidik itu juga, kebanyakan pengguna aplikasi itu juga mengakui bahawa mereka cenderung untuk merosakkan dinding atau memecahkan cermin kediaman hanya untuk mempelajari rutin "The Savage."

Mula dipopularkan pada Januari oleh bintang TikTok popular Charli D'Amelio, rutin "The Box” juga dilaporkan boleh mengakibatkan kerosakan harta benda yang serius bagi mereka yang mencubanya!

Sehingga kini, lebih 2 juta pengguna telah meniru semula rutin itu di seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, rutin "Git Up," yang muncul sekitar Mei 2019 turut disenaraikan antara rutin berbahaya dilakukan di rumah.

Kebanyakan penggguna mengakui bahawa mereka cenderung untuk merosakkan barangan elektronik seperti televisyen atau iPad, selain perabot serta barangan perhiasan ketika melakukan gerak tari berkenaan.


Biarpun begitu, kaji selidik berkenaan turut mendedahkan bahawa rutin "The Renegade" dan "Can't Touch This," merupakan antara rutin yang paling selamat dilakukan di dalam rumah.

Dalam pada itu, kajian tersebut turut menyatakan bahawa pengguna TikTok turut dianggarkan mencatat kerugian kerosakkan rumah sebanyak RM1,673 (£340).

Laporan berkenaan turut mencadangkan agar pengguna melakukan rutin TikTok di kawasan yang lapang bagi mengelakkan kerosakan harta benda kediaman.

“Bagi mengelakkan kerosakan harta benda, carilah kawasan lapang ketika melakukan rutin berkenaan atau lakukannya di luar rumah dalam keadaan cuaca yang selamat,” ujar Ketua insurans rumah di Compare The Market, Chris King dalam satu kenyataan.

BACA: COVID-19: Keluarga 'TikTok' kini sembuh

BACA: Petugas barisan hadapan UK menari TikTok untuk naikkan semangat