KUALA LUMPUR: Sebuah restoran Sepanyol tempatan, Salud Tapas yang terletak berhampiran Jonker Street, Melaka menerima pengiktirafan antarabangsa, Anugerah 'Restaurant from Spain' yang diperakui oleh Kerajaan Sepanyol, baru-baru ini.

Kaunselor Ekonomi dan Komersial Kedutaan Sepanyol di Malaysia Ines Perez-Durantez menyerahkan sijil kepada pengurus restoran Maria Marcos, disaksikan oleh Kuasa Usaha Kedutaan Sepanyol di Malaysia Santiago Lozano dan ahli Majlis Eksekutif Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis lalu.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan terhadap perkhidmatannya yang berkualiti dan kerja keras selain konsisten yang dikekalkan dalam tempoh tujuh tahun lepas.

Kenyataan Pejabat Ekonomi dan Komersial Kedutaan Sepanyol di Malaysia memetik Lozano sebagai berkata Salud Tapas merupakan restoran Sepanyol pertama di Malaysia di luar Kuala Lumpur yang diberi pengiktirafan sejagat ini.

"Anugerah ini memperakui pertubuhan di luar Sepanyol yang menawarkan masakan asli Sepanyol berkualiti tinggi, dengan imej dan rasa yang unik dan berbeza kepada pelanggan mereka. Acara istimewa ini akan menyumbang untuk mengukuhkan hubungan yang sedia kukuh antara Malaysia dan Sepanyol, mewujudkan sinergi memandangkan kedua-dua budaya menyukai sejarah masakan mereka dan mencari perisa baharu.

"Dalam memutuskan jenis 'masakan Sepanyol yang berkualiti asli' dan bukannya 'dengar atau nampak seperti Sepanyol' memerlukan proses yang ketat, yang bermula dengan penyerahan permohonan oleh restoran yang berminat, penilaian, pemeriksaan dan penilaian teknikal oleh Jawatankuasa Pengesahan di Sepanyol," katanya.

Sementara itu, Perez-Durantez berkata proses itu mengikut prosedur pensijilan yang ketat berdasarkan kriteria teknikal - menggunakan prinsip objektiviti, pengesahan, praktikal dan ketelusan.

Beliau berkata hasil inisiatif itu yang bermula pada 2020 dengan empat negara, kini terdapat lebih 200 restoran yang disahkan di seluruh dunia dengan lima daripadanya di Malaysia, termasuk empat di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA