"Tiap kali tak dapat apa yang dia nak, terus menangis dan automatik hempaskan badan ke lantai.
"Kadang rasa malu bila orang tengok.”
Pernah tak anak kecil anda buat tindakan yang tidak disangka seperti hempas badan, memukul kepalanya, menarik rambut, membuat muka bengis, memukul anda kembali atau menyepak objek bila dilarang membuat sesuatu?
Normalkah perlakuan tersebut?
Macam tak sangka pula tengok si kecil yang baru genap usia 2 tahun sudah pandai ‘buat perangai’.
Tanda proteskah kerana kemahuannya tidak dituruti?
Menurut pandangan pakar psikologi kanak-kanak, perbuatan memukul kepala, menarik rambut, membuat muka bengis dan sebagainya lagi tindak balas negatif yang dilakukan oleh si kecil adalah satu cara untuk mereka menyatakan rasa tak puas hati atau ‘feeling upset’.
Biasanya ia dilakukan oleh anak yang belum ada kemahiran untuk memberitahu ketidakpuasan hatinya.
Kebiasaannya ibu ayah tentu akan terus mengambil tindakan marah atau menghukum perbuatan protes anak.
Rasa seperti tercabar pula bila si kecil sudah pandai melawan larangan orang tua.
Sebenarnya, jika anda berhadapan dengan situasi tersebut, beberapa perkara ini boleh dilakukan:
1. Cuba abaikan kelakuan anak
Sekiranya tindakan protes yang dilakukan tidak membahayakan dirinya, abaikan sahaja perbuatannya.
2. Jangan berikan perhatian
Walaupun perhatian yang negatif seperti marah atau tindakan fizikal seperti menjentik tangannya (kerana memukul kepala sendiri) atau memukul tapak kakinya (kerana cuba menendang objek atau ibu bapa).
3. Tinggalkan anak seketika
Tindakan ini akan memberi tempoh bertenang kepada anak dan diri kita sendiri yang mungkin cenderung untuk memarahi atau memukulnya jika terus berhadapan dengan anak.
4. Beri tanggungjawab
Contohnya dalam situasi anak anda bermain dengan objek yang dilarang seperti pensil yang tajam. Dia akan marah sekiranya anda terus merampas barangan tersebut darinya.
Sebaliknya, suruh anak menyimpan semula objek tersebut di tempat selamat (kotak pensil atau laci) dan berikan sedikit pujian kepadanya.
Si kecil rasa seronok bila diberi tanggungjawab apatah lagi bila dapat pujian.
5. Alihkan perhatian anak
Untuk mengelakkan anak terus membuat buat tindakan negatif dan anda sendiri menjadi marah, alihkan dirinya kepada perkara lain seperti suruh dia tengok burung di luar rumah (jika dia obses dengan burung tentu dia akan tengok dan lupakan kemarahannya) atau apa sahaja yang dapat mengalihkan perhatian anak anda (anda sendiri lebih mengetahui).
Kelakuan yang tidak mendapat perhatian atau ‘reward’ akan berkurangan dengan sendirinya. Perhatian sama ada positif atau negatif hanya akan membuatkan anak semakin melawan larangan ibu ayah.
*Artikel asal di Pa&Ma
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !