Permainan binaan Niantic ini menggamit perhatian melalui pemburuan karakter Pokemon di sekeliling pengguna telefon pintar melalui teknologi global positioning system (GPS) dan realiti saduran (augmented reality).
Sama ada anda sudah mula terlibat dengan permainan ini, atau masih lagi berkira-kira untuk menyertai ‘kegilaan’ ini, lapan tip ini diharap membantu anda:
1 Berjalan dan meneroka
Pokemon GO dibina berteraskan teknologi GPS. Ini bermakna anda perlu benar-benar berjalan untuk mencari Pokemon.
Secara purata, Pokemon akan muncul setiap 30 minit namun kemunculan ini lebih kerap sekiranya anda dikesan bergerak.
2 Kenali Pokemon anda
Tidak semua Pokemon akan muncul di tempat sama. Karakter Pokemon diilhamkan dari alam semula jadi, termasuk haiwan dan tumbuhan.
Misalnya, anda perlu ke kawasan air seperti tasik, sungai, atau air pancut untuk menangkap karakter seperti Magikarp dan Psyduck.
Karakter yang berbeza juga muncul mengikut waktu siang dan malam. Jadi rancang pemburuan anda mengikut tempat dan masa.
3 Singgah di PokeStop
Pokemon boleh ditangkap dengan menggunakan PokeBall. Lihat peta pada aplikasi dan anda boleh perhatikan PokeStop ditanda dengan beberapa kiub terapung.
Apabila tiba di PokeStop, swipe gambar yang berada di dalam bulatan untuk mendapatkan bekalan PokeBall.
Apabila tahap XP (mata terkumpul bagi pengalaman bermain) meningkat, anda akan menemui beberapa lagi barangan berguna untuk memburu Pokemon di PokeStop.
4 Kuasai teknik menangkap Pokemon
Sekali imbas, mudah sahaja untuk menangkap Pokemon. Anda hanya perlu melontar Pokeball dengan swipe bola ke arah Pokemon yang muncul di skrin.
Namun ada beberapa teknik yang boleh digunakan untuk memudahkan anda menangkap Pokemon yang mempunyai kuasa pertarungan (Combat Power - CP) yang tinggi dan sukar dijinakkan:
- Tekan PokeBall pada skrin beberapa ketika sebelum ‘dilontar’. Anda akan lihat bulatan pada Pokemon berubah saiz. Lontar apabila bulatan tersebut berada pada saiz paling kecil
- Warna bulatan itu juga menggambarkan tahap kesukaran menangkap. Hijau maknanya Pokemon itu mudah ditangkap, kuning tandanya sukar, dan merah bermaksud anda memerlukan kemahiran dan ‘alatan’ istimewa (rujuk tips 3) untuk menangkap Pokemon tersebut. Warna tersebut kadangkala bercampur-campur seperti jingga dan kuning kehijauan
- Sekiranya lontaran anda tepat ke tengah-tengah bulatan, anda akan mendapat mata tambahan. Begitu juga jika lontaran anda melengkung sebelum mengenai sasaran. Ini boleh dilakukan dengan menekan dan memusing PokeBall di skrin sebelum ‘dilontar’ pada Pokemon.
VIDEO: Iran kuatkuasa larangan Pokemon GO
VIDEO: Pokemon GO temui peminat di Malaysia
5 Tangkap semuanya
Jika anda baru mula bermain atau hanya mencari Pokemon di tempat sama (misalnya rumah atau pejabat), jangan risau jika anda asyik bertemu dengan karakter sama.
Tangkap semua Pokemon yang anda jumpa. Kesemua karakter ini anda boleh transfer untuk ditukarkan dengan candy.
Candy yang terkumpul boleh digunakan untuk menukar atau evolve Pokemon anda ke tahap yang lebih kuat.
6 Mula dengan Pikachu
Ketika anda mengikuti tutorial permainan, tiga karakter akan muncul untuk ditangkap. Sabar dahulu dan beredar ke tempat lain setiap kali mereka muncul.
Selepas tiga atau empat kali, akhirnya mereka akan muncul bersama-sama dengan Pikachu. Lontar PokeBall anda dan tangkaplah karakter Pokemon paling popular itu!
7 Bertarung di PokeGym
Selepas mencapai Level 5 atau tahap 5, anda boleh menyertai salah satu pasukan dalam Pokemon GO (Valor, Mystic, atau Instinct) dan bertarung di PokeGym.
PokeGym merupakan hentian yang ditanda dalam peta aplikasi tersebut dan biasanya di tempat tumpuan ramai misalnya stesen LRT dan pusat beli-belah.
Untuk tip permulaan, anda boleh cuba beberapa gerakan asas seperti:
- Mengelak serangan pemilik gim dengan swipe skrin ke kiri atau kanan apabila terlihat cahaya kuning muncul menandakan serangan bermula
- Sentuh skrin pada imej karakter lawan untuk menyerang
8 Menetaskan telur Pokemon
Salah satu perkara yang akan anda kutip di PokeStop ialah telur Pokemon.
Telur ini akan menetas dan mengeluarkan Pokemon apabila anda dikesan berjalan dalam jarak tertentu (dua, lima, atau 10 kilometer).
Bagaimana caranya?
- Pilih telur yang anda ingin tetaskan dan guna inkubator
- Ada satu inkubator kekal dengan simbol infiniti yang boleh anda gunakan berulang kali. Inkubator ini berguna untuk telur yang akan menetas dalam jarak dekat, misalnya dua kilometer
- Gunakan inkubator pakai buang (yang boleh didapati di PokeStop atau dibeli di Shop) untuk telur yang akan menetas dalam jarak jauh
VIDEO: Bola gergasi serang pemain Pokemon GO
VIDEO: Pokemon GO beri amaran jika anda sedang memandu
VIDEO: 10 panduan keselamatan bermain Pokemon GO
Anda ada tip lebih menarik? Kongsi bersama kami!