BAGI ramai di antara kita yang berkerjaya, PEJABAT umpama rumah kedua.

Akan tetapi, pasti ada sahaja ujian dan cabaran yang dihadapi golongan ini dalam memastikan produktiviti kerja mereka terus meningkat.

Berikut merupakan 5 PERKARA REALITI yang sering dikaitkan dengan KERJA PEJABAT.

1. SINDROM 'MONDAY BLUES'

Adakah anda biasa dengar rakan-rakan mengadu dan merungut tentang kemalasan mereka bekerja pada hari Isnin?

Istilah ini sering dikaitkan dengan rasa bosan atau malas ke tempat kerja walaupun sudah menikmati SABTU dan AHAD dengan santai.

Menurut blogger dan penulis buku The Happiness Project, Gretchen Rubin, berkumpul bersama rakan pejabat boleh dijadikan amalan setiap Isnin sebelum memulakan kerja masing-masing.

Katanya, luangkan masa beberapa minit untuk anda dan rakan sepejabat mencatat di atas sekeping kertas kosong atau papan putih mengenai aktiviti-aktiviti yang anda lakukan pada Sabtu dan Ahad.

Apa kata anda cuba, mana tahu menjadi dan benar-benar menjamin KEBAHAGIAAN bekerja setiap ISNIN.

2. SINDROM PENGLIHATAN PENGGUNAAN KOMPUTER (CVS)

CVS (computer vision syndrome) merupakan gangguan pada keupayaan penglihatan mata akibat penggunaan komputer untuk waktu yang panjang.

Portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, mendedahkan penggunaan komputer dalam tempoh jangka lama tanpa rehat seketika boleh mengakibatkan ketegangan pada mata.

Bukan itu saja, anggota badan lain juga akan mudah rasa penat dan letih terutama di bahagian kepala hingga ke paras pinggang.

Hal terbabit juga dibuktikan menerusi kaji selidik Bank of America di portal India Times.

Terlalu lama duduk mengadap komputer, sehingga tidak berganjak sedikit pun dari tempat kerja, boleh mengakibatkan sindrom penglihatan komputer

3. WAKTU KERJA TIDAK FLEKSIBEL

Salah satu 'wish list' rakyat Malaysia pada Bajet 2018 ialah pelaksanaan waktu kerja fleksibel bagi memudahkan tugas wanita.

Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka terikat dengan waktu kerja tetap, contohnya dari 7 pagi hingga 4 petang, atau mungkin 8 pagi hingga 5 petang.

Menurut Prof Balakrishnan Parasuraman, Profesor Hubungan Industri dan Sumber Manusia Universiti Malaysia Kelantan (UMK), pelaksanaan waktu kerja yang fleksibel banyak dilaksanakan di negara maju dengan golongan wanita hanya bekerja selama empat jam sahaja.

Perkara sama pernah disuarakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan yang mengatakan pelaksanaan waktu kerja anjal tidak menjejaskan produktiviti kerana masa dan hari bekerja disusun mengikut kesesuaian pekerja dan keperluan majikan.

4. GEMUK?

Bekerja di pejabat dianggap berpotensi besar untuk mendorong berat badan seseorang naik secara mendadak.

Pakar Nutrisi, Keri Glassman, mendedahkan makanan ringan merupakan menu wajib yang tersenarai buat mereka yang bekerja di pejabat.

Perkara itu dikongsikan beliau di portal NBC ruangan Better bertarikh 2 Januari 2018.

5. TIADA MASA DEPAN?

Baru-baru ini, Profesor dari Universiti Cardiff Alison Brown berkata, tanggapan bahawa hanya
'kerja di pejabat' menjamin masa depan seseorang, wajar dikikis.

Beliau berkata demikian pada Forum Bandar Sedunia (WUF) 2018 berhubung pertumbuhan ekonomi tempatan, produktiviti dan peluang pekerjaan belia di bandar.

Katanya, jika dilihat sebelum ini, ibu bapa menekankan kepentingan menyambung pelajaran ke peringkat tinggi supaya dapat bekerja di pejabat.

"Kita tidak boleh lagi mengamalkan pemikiran itu dan golongan akan datang juga tidak boleh bertindak sedemikian kerana akhirnya, mereka akan ketinggalan."