10 fakta tentang Bhutan, 'misteri' di Himalaya
Astro Awani
Disember 12, 2021 12:06 MYT
Disember 12, 2021 12:06 MYT
TERLETAK antara China dan India, Bhutan merupakan sebuah negara kecil di Himalaya, diselubungi misteri dan keajaiban. Banyak sebenarnya yang tidak diketahui tentang Bhutan, malah menjadi punca mengapa tidak ramai yang mahu melancong ke negara itu.
Berikut adalah 10 fakta paling menakjubkan tentang Bhutan yang mungkin akan mencetuskan rasa ingin tahu si pengembara.
1. Bhutan mengharamkan rokok. Produk tembakau tidak boleh dijual atau dihasilkan di sini. Merokok di khalayak ramai diharamkan dan boleh dikenakan hukuman berat.
2. Bhutan merupakan negara terakhir di dunia yang memperkenalkan televisyen. Televisyen dan internet mula diperkenalkan pada tahun 1990. Sebelum itu, ia diharamkan. Hanya terdapat dua saluran TV, yang beroperasi dari jam 11 pagi sehingga 6 petang.
3. Satu-satunya lapangan terbang, Lapangan Terbang Paro, terletak di kawasan lembah yang dalam, dikelilingi puncak-puncak gunung. Hanya lapan jururterbang yang dibenarkan mendaratkan pesawat di lapangan terbang ini. Penerbangan pula hanya dibenarkan pada waktu siang dan ketika cuaca baik.
4. Haiwan tidak dibenarkan disembelih di Bhutan. Bekalan daging dan ikan diperolehi dari India.
5. Rakyat Bhutan tidak menyambut hari lahir. Malah tiada undang-undang mewajibkan mereka merekodkan tarikh lahir. Justeru, rakyat negara itu mengambil kira pertambahan usia pada 1 Januari, setiap tahun.
6. Namun, hari kelahiran raja mereka, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck, diraikan sebagai hari cuti umum, pada 21 Februari setiap tahun.
7. Bhutan merupakan salah sebuah negara paling hijau di dunia. Lebih 70 peratus negara itu diliputi oleh hutan. Perlembagaan mereka menghendaki sekurang-kurangnya 60 peratus daripada tanah kekal sebagai hutan untuk generasi akan datang. Ketika banyak negara lain bekerja keras untuk mengurangkan pelepasan karbon, Bhutan sudah pun mencapai tahap neutral karbon dan juga negatif karbon.
8. Mengikut adat Bhutan, seseorang perlu menolak apabila ditawarkan makanan pada kali pertama dengan menutup mulut dan menyebut 'meshu'. Jika ditawarkan kali kedua, barulah boleh diterima makanan tersebut.
9. Harta, sama ada tanah, rumah, atau haiwan, secara amnya diserahkan kepada anak perempuan sulung dan bukannya anak lelaki sulung. Apabila satu pasangan berkahwin, si suami perlu berpindah ke rumah isterinya.
10. Bhutan sengaja tidak mahu mempromosikan pelancongan antarabangsa secara besar-besaran untuk melindungi budaya dan alam semula jadi mereka. Ini dilaksanakan dengan menetapkan bayaran minimum untuk ditanggung oleh pelancong antarabangsa. Ini menjadikan Bhutan destinasi pelancongan yang agak mahal, sekaligus menjelaskan mengapa negara itu tidak menerima ramai pelancong luar negara.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!