TANPA kita sedari, banyak sebenarnya teknologi yang telah memudahkan kehidupan seharian kita dalam membuat sesuatu urusan.

Sebagai contoh, telefon pintar untuk kita memperoleh maklumat, teknologi dron untuk digunakan bagi memantau dan merakam visual dalam bentuk pandangan dari atas dan banyak lagi.

Sifat teknologi ini tiada titik noktahnya. Baru-baru ini sebuah robot menyerupai anjing yang dihasilkan syarikat teknologi Boston Dynamics menjadi bualan.


Bukan sahaja boleh digantikan untuk membuat pengawasan seperti anjing pengawasan, ia juga berkemampuan untuk mengemudi sesuatu halangan, laluan tidak rata atau berbahaya, serta mengakses tempat berisiko seperti kawasan bervoltan tinggi.

Mempunyai berat sehingga 32 kilogram, robot yang dinamakan Spot ini boleh naik turun tangga dan membuka tombol pintu dan berkomunikasi dari jarak jauh.

Tidak cukup dengan itu, robot anjing berwarna kuning ini juga boleh dijadikan sebagai barisan hadapan sekiranya ada berlaku sesuatu kejadian tebusan dan mendengar perbualan dari luar pintu.


Jabatan Polis Honolulu telah membelanjakan kira-kira RM630,000 untuk robot itu bagi tujuan mengesan individu yang mungkin dijangkiti positif COVID-19. 

Ia digunakan di sebuah bandar yang terletak berhampiran lapangan terbang sebagai alat untuk menentukan sama ada seseorang itu mempunyai gejala demam atau tidak.

Namun, Jabatan Polis New York yang sebelum ini antara terawal menggunakan robot tersebut menghentikan operasinya pada April lalu kerana penduduk menganggap robot itu sebagai sesuatu yang menakutkan.

Daripada kira-kira 500 Spot yang diguna pakai di seluruh komuniti ketika ini, majoriti adalah ditempatkan di kawasan yang bervoltan tinggi dan kawasan berisiko sebelum ia boleh diakses manusia.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !