PENTAS merupakan salah satu laman dagangan yang memfokuskan NFT di Malaysia, yang pernah menyaksikan lebih 46,000 karya NFT dimuat naik dan diterbitkan melaluinya dalam tempoh 90 hari pertama, serta memperlihatkan beberapa karya dijual pada harga melangkaui RM50,000.


Ringkasan AI
  • Pentas, laman dagangan NFT di Malaysia, menyaksikan lebih 46,000 karya NFT dimuat naik dalam 90 hari pertama, dengan beberapa karya dijual melebihi RM50,000.
  • Perkhidmatan Pentas kini dihentikan sementara kerana kos pengehosan AWS yang tinggi dan kekurangan dana tambahan.
  • Pentas berjanji untuk kembali dengan operasi yang lebih mampan, tetapi tiada garis masa diberikan untuk pemulihan perkhidmatan.


Pentas juga pernah menganjurkan beberapa program kolaborasi sebelum ini, termasuk bersama MDEC yang menawarkan imbuhan berjumlah RM4 juta untuk 1,000 penerbit karya di Pentas.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, perkhidmatan tersebut tidak boleh diakses seperti biasa, malah menyukarkan pelbagai karya yang pernah diterbitkan untuk diakses atau dilihat yang lain pada platform Pentas.

Dengan pelbagai masalah pada perkhidmatan berkenaan, kini pembangunnya melalui media sosial Pentas mengumumkan akan menghentikan sementara perkhidmatan tersebut, atau dalam kata lain, mengatakan “menjedakannya”.

Pembangunnya mengatakan perkhidmatan Pentas membawa kepada kos pengehosan AWS yang tinggi, dan mereka tidak dapat menampungnya tanpa suntikan dana tambahan.

Pentas mengatakan telah cuba mendapatkan dana tambahan, termasuk memohon menyertai pelbagai program untuk mendapatkan dana, namun tidak berjaya.

Sebelum ini, pihak Pentas mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 2.5% untuk jualan melalui platform tersebut.

Mengulas lanjut, pihak pembangun Pentas mengatakan mereka tidak akan mengalah, dan akan cuba hadir kembali dengan kaedah operasi yang lebih mampan, serta menyokong komuniti kreatif setempat.

Buat masa ini, tiada sebarang garis masa diberikan bilakah Pentas akan kembali beroperasi sepenuhnya, atau panduan bagaimana pengkarya boleh mengakses karya mereka yang telah sedia diterbitkan melalui platform tersebut. -Amanz