Penyerang muda negara, Haziq Samsul mengidamkan satu lagi kenangan manis bersama skuad hoki remaja Malaysia ketika cabaran mereka pada edisi ke-53 Piala Asia Remaja bermula pada 14 November ini di Kuantan, Pahang.

Haziq memberi bayangan bahawa sesi latihan intensif bersama jurulatih Arul Selvaraj serta pengalaman yang dikongsi pengurus Mirnawan Nawawi mampu memberi suntikan semangat buat Skuad Projek 2016 untuk mempertahankan gelaran trofi Piala Asia Remaja sekali gus melayakkan diri ke saingan Piala Dunia Remaja 2016 di India.

"Kelebihan bersama kami kerana bermain di tanah air. Pada masa yang sama, kepercayaan jurulatih serta sokongan dari penduduk Pahang akan membantu cabaran kami"

"Mungkin sedikit susah kerana Skuad Projek 2016 hanya beraksi bersama selama dua tahun tetapi tahap komitemen di atas padang tidak pernah berubah" kata Haziq.

Penyerang itu juga pernah mewakil skuad senior ketika mengharugi cabaran Liga Hoki Dunia di Belgium namun dia memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu cabaran The Young Tigers dalam masa kurang dua minggu.

Aksi di Belgium merupakan satu pendedahan baik untuk saya dan saya harap untuk berkongsi pendedahan itu bersama rakan-rakan saya di skuad junior" katanya.

Menurut Haziq, selain pencabar utama India, Malaysia perlu berhati-hati seandainya terpaksa bertemu skuad Korea Selatan pada pusingan suku akhir nanti.

"Bagi saya Korea Selatan merupakan salah satu lagi pencabar utama kerana Skuad Projek 2016 tidak boleh membayangkan apa-apa mengenai corak permainan mereka.

"Saya harap kejohanan ini akan memberi peluang kepada kami untuk menilai strategi sekali gus mengenal pasti kelemahan mereka" tambahnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama jaguh India, China dan Jepun manakala Kumpulan B disertai Pakistan, Korea Selatan, Oman dan Bangladesh.

Perlawanan pembukaan bakal menyaksikan skuad junior Malaysia berdepan China pada kejohanan yang berlangsung pada November 14-22.