PUTRAJAYA: Kontinjen Wilayah Persekutuan menyasarkan kutipan 70 pingat emas dalam misi merampas gelaran juara keseluruhan daripada Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 MSN 2022 yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang pada 16-24 Sept ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sasaran berkenaan diletakkan berdasarkan prestasi semasa para atlet kontinjen yang diberi jolokan WiPers itu.

"Kami yakin dengan latihan yang dibuat kami boleh meraih 70 emas itu. WiPers sewajarnya jadi juara sebab kami tuan rumah Sukma dan bertanding dalam semua acara.

"Kita berlawan dan berlatih di sini, kita patut menang," katanya kepada pemberita pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma 2022 Kuala Lumpur di Menara Seri Wilayah di sini semalam.

Dalam pada itu, Shahidan berkata atlet yang memenangi pingat di temasya sukan itu bakal menerima insentif daripada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.

Menurutnya atlet yang merangkul emas akan menerima RM5,000, pingat perak (RM2,000) dan pingat gangsa (RM1,000), manakala bagi berpasukan pemenang pingat emas menerima RM3,000-RM4,000, pingat perak (RM1,000-RM1,500) dan pingat gangsa (RM500-700).

"Bagi atlet yang memecahkan rekod kebangsaan dan rekod Sukma sudah pasti ganjarannya akan dilebihkan, ia tidak termasuk ganjaran khas yang menanti kontinjen," katanya.

Pada Sukma ke-19 Perak 2018, WiPers menamatkan cabaran di kedudukan kedua dengan mengumpul 52 pingat emas, 38 perak dan 49 gangsa sementara Terengganu sebagai juara merangkul 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Temasya kali ini menawarkan sebanyak 426 pingat emas iaitu 223 dalam acara lelaki, wanita (184) dan campuran (19).

Kebanyakan venue bagi Sukma edisi ke-20 itu melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang-Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam, manakala pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

-- BERNAMA