Abby Wambach melakar rekod peribadi apabila muncul pemain kedua Amerika Syarikat menjaringkan 150 gol di peringkat antarabangsa.

Ia selepas pemain itu meledak dua gol semasa pasukannya menewaskan China 4-0 pada perlawanan persahabatan di Texas.

Ini merupakan pertemuan kedua kedua-dua pasukan selepas aksi pertama dimenangi Amerika Syarikat 2-0 minggu lalu.

Tuan rumah bermula garang dengan gol pendahuluan Wambach pada minit ke 20.

Mendahului 1-0 pada babak pertama, tuan rumah meneruskan asakan pada babak berikutnya.

Minit ke 62, Carly Lloyd memastikan juara Olimpik itu selesa di depan sebelum Wambach sekali lagi menemui sentuhan jaringan untuk gol ke 25 musim ini.

Dia kini memerlukan lapan gol untuk menyamai rekod Mia Hamm selaku penjaring terbanyak Amerika.

Amy Rodriguez menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke 85 untuk kemenangan bergaya 4-0 tamat sepenuh masa.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula di Florida Sabtu ini.