PENYERANG Napoli Victor Osimhen mengekalkan hak untuk 'mengambil tindakan undang-undang' terhadap kelabnya sendiri selepas pasukannya menyiarkan video pelik di TikTok yang seolah-olah mengejek pemain itu.

Video ganjil itu muncul selepas Osimhen membantu pasukan Itali memperoleh gelaran liga pertama, yang pertama kelab itu dalam tempoh tiga dekad.

Walaupun Osimhen menghasilkan 31 gol buat Napoli dalam semua pertandingan, dia menjadi sasaran video pelik yang kini dipadamkan, dikongsi ke akaun TikTok rasmi kelab Serie A itu.

Ejen Osimhen, Roberto Calenda, mengeluarkan kenyataan semalam mengenai kejadian itu.

Dia menulis di X, “Apa yang berlaku hari ini di profil rasmi Napoli di platform TikTok tidak boleh diterima. Video yang mempersendakan Victor mula-mula didedahkan kepada umum dan kemudian dipadamkan.

"Video itu mencemarkan imej pemain dan menambah tekanan buat pemain tersebut susulan berdepan khabar angin sebelum ini.

Calenda menambah, "Kami berhak untuk mengambil tindakan undang-undang dan sebarang inisiatif berguna untuk melindungi Victor".


Klip media sosial yang aneh itu muncul selepas kelihatan ketegangan antara Osimhen dan pengurus Napoli, Rudi Garcia semasa perlawanan.

Penyerang Nigeria berusia 24 tahun itu dilihat memarahi Garcia apabila dia digantikan dengan baki empat minit tanpa jaringan.

Perkara ini terjadi selepas Osimhen, yang menarik minat Manchester United pada musim panas ini, tidak menandatangani kontrak baharu dengan pasukan Itali itu.

Perjanjian semasa Osimhen berlangsung hingga musim panas 2025.