PAUL Pogba belum bersedia untuk memberikan komitmen kepada Manchester United, sambil menegaskan 'ayuh lihat apa yang akan terjadi' ketika mengulas mengenai masa depannya.
Pemain tengah itu memainkan peranan besar ketika Perancis bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Belgium 3-2 dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) di Stadium Allianz, Juventus, awal pagi tadi.
Pogba terus dikaitkan akan meninggalkan United dengan kembali ke Juve atau bertukar angin ke Real Madrid.
Media Perancis melaporkan dia sedia melanjutkan kontraknya bersama The Red Devils yang akan berakhir hujung musim ini berikutan kehadiran Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho meningkatkan keyakinannya terhadap cita-cita kelab.
Bagaimanapun, ketika ditemui selepas membawa Les Bleus ke perlawanan UNL di San Siro, awal pagi Isnin depan, Pogba memberitahu Sport Mediaset: "Saya sering bercakap dengan bekas rakan sepasukan saya seperti Paulo Dybala. Saya di Manchester United, saya masih mempunyai kontrak selama setahun dan kita akan lihat kelak.
"Saya mahu menamatkan musim ini dengan baik, kemudian mari kita lihat apa yang akan berlaku."

Belgium mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama di Turin itu menerusi Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku sebelum juara dunia berkenaan melengkapkan kebangkitan yang mengagumkan.


Karim Benzema dan Kylian Mbappe menyamakan kedudukan sebelum ledakan kemenangan Theo Hernandez terhasil pada minit ke-90.
"Kami bermula dengan sangat baik: 25 minit menguasai bola, kemudian terperangkap kerana pemain lawan sangat bagus dalam serangan balas," kata Pogba lagi.
"Kami terpaksa bertahan dan akhirnya melepaskan dua gol pantas, kami berhenti mengawal bola. Tapi ia menjadi satu perlawanan yang berbeza dalam babak kedua. Kami bermain seperti Perancis semula.
"Ia adalah perlawanan yang sangat baik. Saya gembira dengan permainan yang kami mainkan. Aksi separuh masa kedua sungguh bagus."
Antoine Griezmann, yang memenangi sepakan penalti yang menyaksikan Mbappe menyempurnakannya untuk menyamakan kedudukan, mendedahkan beberapa perbincangan ketika rehat adalah kunci kebangkitan mereka.
"Saya sangat bangga dengan pemain, kumpulan dan jurulatih," katanya kepada TF1.
"Kami bermula dengan baik pada 30 minit pertama. Selepas itu, kami terlalu bertahan, kami tidak dapat keluar dan ketika rehat, semua orang memberi kata-kata semangat dan kami keluar dengan cara yang berbeza.
"Kami memburu gol, Kylian dan Karim menampilkan persembahan yang luar biasa. Mereka menjadikan kami tampak bagus dengan menjaringkan gol, membuat perbezaan. Ini adalah satu perlawanan yang hebat."

 
Sumber Facebook stadiumastro