JURGEN Klopp berkata dia tidak takut dipecat selepas Liverpool memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kekalahan 4-1 di Napoli.

Pada hari Chelsea melepaskan Thomas Tuchel daripada tugasnya di Stamford Bridge, Klopp ditanya sama ada dia bimbang dengan nasib yang sama selepas kekalahan di Naples yang menyaksikan tuan rumah mendahului 4-0 sebelum Luis Diaz menjaringkan gol saguhati.

Ia meneruskan rentetan prestasi mengecewakan setakat musim ini yang menyaksikan pemenang berganda piala domestik musim lalu hanya meraih dua kemenangan daripada tujuh perlawanan mereka di semua pertandingan.

Klopp, bagaimanapun, menolak kebimbangan mengenai masa depannya sendiri dan mencadangkan pemilik kelab, Fenway Sports Group, mampu membuat keputusan yang lebih baik berbanding pemilik Chelsea dari Amerika, Todd Boehly, yang melepaskan Tuchel hanya beberapa hari selepas menyelesaikan perbelanjaan lebih GBP270 juta dalam jendela perpindahan.

Ditanya sama ada dia fikir dia juga mungkin mengikut jejak langkah Tuchel, Klopp berkata: "Tidak juga, tetapi siapa tahu? Perbezaannya ialah kami mempunyai pemilik yang berbeza. Kami lebih tenang dan mengharapkan saya untuk menyelesaikannya. Begitulah mereka melihatnya. Pada hari mereka mengubah fikiran, mereka mungkin memberitahu saya."

BACA: UCL: Napoli aibkan Liverpool dalam aksi pembukaan

Pengurus Liverpool itu juga menyatakan keyakinannya bahawa masalah pasukannya musim ini tidak berpunca corak permainan 'high pressing', yang digunakan untuk bertahan.

Sebaliknya, Klopp berasakan isu sebenar adalah lebih ke hadapan dengan bahagian tengah dan serangan yang tidak memberikan tekanan yang cukup kepada lawan apabila tidak menguasai bola.

"Kami perlu bermain dengan lebih baik. Masalahnya ialah kami tidak pernah hampir meletakkan lawan di bawah tekanan," kata Klopp.