BEKAS pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy, didapati tidak bersalah merogol seorang wanita muda dan satu lagi tuduhan cubaan merogol.

Pemain berusia 28 tahun tersebut bercucuran air mata ketika keputusan tidak bersalah berkenaan dibacakan oleh juri selepas perbicaraan itu berlangsung selama tiga minggu di Mahkamah Chester Crown.

Mendy - yang kontraknya dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir dua minggu lalu - telah dibebaskan daripada pertuduhan cubaan merogol seorang wanita berusia 29 tahun di rumah agamnya di Mottram St Andrew, Cheshire pada Oktober 2018.

Dia juga didapati tidak bersalah merogol wanita kedua yang berusia 24 tahun, dua tahun kemudian juga di alamat yang sama.

Selepas bersidang kira-kira tiga jam dan 15 minit, juri yang terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita terbabit mengambil keputusan itu sementara hakim, Steven Everett, pula berkata: "Mendy boleh dilepaskan dari kandang tertuduh."

Perbicaraan itu diadakan semula setelah dia dibebaskan daripada enam pertuduhan merogol dan satu pertuduhan serangan seksual oleh juri awal tahun ini yang mengaitkan empat wanita muda atau remaja.

Juri gagal mencapai keputusan mengenai dua pertuduhan rogol dan cubaan merogol yang dibicarakan semula itu. - Stadium Astro