Pemenang Piala Dunia dari Perancis Marcel Desailly, jurulatih bolasepak terkemuka André Villas-Boas dan juara lumba motosikal sebanyak lima kali Mick Doohan akan mengumumkan nama keenam-enam olahragawan, olahragawati dan pasukan yang cemerlang dalam tujuh kategori berbeza, berikutan undian oleh media dunia,
Pengumuman tersebut akan dibuat di Kuala Lumpur pada Rabu depan, bersamaan 26 Februari – genap sebulan sebelum acara penyampaian Laureus World Sports Awards Ke-15 yang akan diadakan di ibu negara Malaysia.
Laureus Awards mengiktiraf pencapaian sukan sepanjang tahun 2013, merupakan acara penghormatan terulung dalam kalendar sukan antarabangsa.
Para pemenang, sebagaimana yang dipilih oleh Laureus World Sports Academy akan diumumkan di Majlis Penyampaian Anugerah yang bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Malaysia, pada Rabu, 26 Mac nanti.
Duta Laureus yang juga legenda skuasy Malaysia, Nicol David, juara dunia tujuh kali, mengulas,
“Saya begitu teruja Laureus World Sports Awards akan diadakan di tanah air saya, di Kuala Lumpur, Malaysia. Saya yakin Kuala Lumpur mampu menjadi tuan rumah yang hebat bagi Majlis Penyampaian Anugerah ini. Setiap orang di negara saya amat menggemari sukan, dan saya berani berjanji bahawa Malaysia akan mengalu-alukan kedatangan anda dengan penuh mesra. Laureus World Sports Awards adalah antara acara terunggul bagi sukan setiap tahun dan Laureus telah melaksanakan pelbagai usaha hebat di seluruh dunia untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sebagai Duta Laureus, saya berharap, kami akan dapat mewujudkan beberapa program di Malaysia untuk golongan muda. Rakan-rakan saya dan semua rakan olahragawan dan olahragawati sudah pun mula berbincang tentang betapa hebatnya acara yang bakal diadakan pada bulan hadapan ini. Saya berjanji kepada anda semua bahawa malam anugerah pastinya malam yang paling mengagumkan dan saya tidak sabar untuk mengalu-alukan anda semua secara peribadi ke Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia amnya.”
Ini tahun Ke-15 bagi Laureus World Sports Awards dan Edwin Moses, Pengerusi Laureus World Sports Academy, berkata,
“Saya amat gembira Majlis Anugerah 2014 akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia. Laureus akan diadakan di Asia Tenggara buat pertama kalinya, dan ini perkembangan yang amat memberangsangkan, kerana dengan ini, mesej Laureus dapat disampaikan ke rantau dunia yang baharu.”
Enam calon akan diumumkan dalam pelbagai kategori:
- Laureus World Sportsman of the Year
- Laureus World Sportswoman of the Year
- Laureus World Team of the Year
- Laureus World Breakthrough of the Year
- Laureus World Comeback of the Year
- Laureus World Sportsperson of the Year with a Disability
- Laureus World Action Sportsperson of the Year
Anugerah Sukan Dunia Laureus mengiktiraf pencapaian sukan pada tahun 2013. Nama-nama daripada enam pencalonan untuk anugerah tersebut dilakukan oleh Panel Pemilihan Media Laureus, yang terdiri daripada penyunting sukan, penulis sukan, penyiar dan wartawan sukan online terkemuka dari serata dunia.
Para pemenang muktamad akan dipilih menerusi undian rahsia oleh juri sukan yang terkemuka, 46 ahli Akademi Sukan Dunia Laureus.
Antara mereka yang pernah diberi penghormatan termasuk Sebastian Coe, Novak Djokovic, Roger Federer, Alex Ferguson, Lewis Hamilton, Rafael Nadal, Pelé, Michael Phelps, Steve Redgrave, Ronaldo, Michael Schumacher, Kelly Slater, Serena Williams dan Zinedine Zidane.
Tetamu kehormat yang turut pernah hadir di Majlis Anugerah ini termasuk HM Raja Juan Carlos dari Sepanyol, HSH Putera Albert dari Monaco, David dan Victoria Beckham, Sean Connery, Michael Douglas dan Catherine Zeta-Jones, Morgan Freeman, Teri Hatcher, Eva Longoria, Gwyneth Paltrow dan Kevin Spacey.
YB Dato' Seri Mohamed Nazri, Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, berkata,
“Kuala Lumpur berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah Laureus World Sports Awards 2014, justeru bandar raya ini bersiap sedia untuk menganjurkan acara yang tersohor di peringkat antarabangsa ini dan mengalu-alukan para legenda sukan ke Malaysia. Sukan amat istimewa di hati warga Malaysia dan saya berjanji, layanan mesra warga Malaysia menanti ketibaan anda sebagai tetamu kami. Setelah sekian lama berjaya menjadi tuan rumah bagi acara seperti Monsoon Cup dan Formula One Grand Prix, saya amat yakin bahawa Kuala Lumpur, Malaysia, pastinya tuan rumah yang tepat untuk acara sukan yang begitu penting di peringkat global ini. Saya pasti, acara ini akan menjadi sesuatu yang sukar dilupakan oleh semua yang terlibat.”
Hasil kutipan Anugerah Sukan Dunia Laureus ini akan dimanfaatkan secara langsung oleh Laureus Sport for Good Foundation dalam segala usahanya, yang antara lain telah menyokong lebih 140 projek komuniti berasaskan sukan di 34 buah negara di seluruh dunia dan membantu meningkatkan kehidupan lebih satu setengah juta golongan remaja dan belia.
Ahli-ahli Akademi Sukan Dunia Laureus meluangkan masa mereka secara sukarela untuk menjadi duta global Laureus Sport for Goodwill Foundation, yang menetapkan usaha memerangi pelbagai cabaran sosial yang paling yang dihadapi oleh para remaja hari ini seperti jenayah juvana, kumpulan samseng, HIV/AIDS, diskriminasi, pengasingan sosial, kesedaran tentang jerangkap samar, pendidikan dan masalah kesihatan seperti obesiti sebagai misinya.
Sejak penubuhannya Laureus telah mengumpul dana berjumlah lebih €60 juta untuk menyokong pelbagai projek di seluruh dunia.