"SAYA sangat gembira melihat pencapaian mereka kerana sudah lama menantikan juara baru dan turut menampilkan permainan terpuji."

Itulah reaksi bekas wakil kebangsaan, Chan Chong Ming, yang melakar sejarah beregu lelaki terakhir memenangi Terbuka Jepun bersama gandingannya Chew Choon Eng pada 2002.

Terbaru, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani berjaya memecahkan kebuntuan tersebut selepas menewaskan pasangan nombor satu Korea Selatan untuk muncul sebagai juara baru Terbuka Jepun.

Menurut Chong Ming, tiada yang salah mahupun tiada yang betul mengenai keputusan mereka untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara rasmi berkuat kuasa 1 September ini.

"Mungkin ini masa yang sesuai untuk mereka bergelar professional dan saya ingin mengucapkan selamat maju jaya buat mereka kerana laluan tersebut lebih mencabar selain perkara yang paling penting ialah kewangan dan penaja," katanya,

Sementara itu, bekas beregu nombor satu dunia, Koo Kien Keat, turut berbangga dengan pencapaian yang diperoleh oleh Sze Fei-Izzudin sambil sempat memuji gaya permainan yang ditampilkan seolah-olah bertaraf Sukan Olimpik.

"Apa yang paling utama ialah mereka masih bersemangat untuk bermain," ujarnya.