Kapten The Red Warriors, Mohd Badri Mohd Radzi berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang tidak memanggilnya untuk menjalani latihan bersama skuad tersebut.

"Saya tak ada masalah dengan Datuk Rajagobal. Itu terpulang kepada dia nak panggil (untuk menjalani latihan) atau tidak. Itu hak dia.

"(Bagaimanapun) kita harap dia tengok pemain-pemain yang berkualiti (ataupun) minta pemain dipanggil dahulu (untuk latihan), atau dia sendiri datang tengok perlawanan," katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan bersama skuad Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini hari ini.

Nama Badri Radzi atau Piya tersisih dari senarai 24 pemain yang bakal beraksi dalam kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Qatar di Doha 6 Feb depan.

Ini mencetuskan tanda tanya kerana ramai anak buah Rajagobal yang dilapor mengalami kecederaan.

Piya pernah diiktiraf laman web bola sepak terkemuka dunia Goal.com antara pemain terbaik dalam pasukan Asia bulan Oktober 2012.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata Piya berada dalam kelasnya yang tersendiri kerana bakat serta kreativiti yang ada pada pemain muda tersebut.

"Bagi saya Piya ialah pemain yang baik. Dia mempunyai kreativiti (tetapi) setiap jurulatih mempunyai stail tersendiri dan mungkin Piya tidak sesuai dengan itu. Orang terlalu bercakap mengenai perkara ini.

Rajagobal mempunyai stail berbeza dan kita mesti menghormatinya," kata Bojan.