Terengganu akan menghantar pasukan lelaki dan wanita ke Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Universiti Putera Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor, Sabtu ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Abdul Rashid Jusoh berkata pemain itu terdiri daripada wakil Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) 2016 untuk memberi pendedahan sebelum menghadapi kejohanan sebenar.

"Selain pasukan itu, kita juga menghantar pasukan MSNT yang dibarisi bekas pemain negeri dan regu juara liga Malaysia 2014," katanya di sini, pada Khamis.

Selain itu, Terengganu juga akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Belia Kebangsaan praSukma bawah umur 20 tahun di Kuantan pada 26 hingga 29 Mac.

"Pasukan yang dihantar ke Pahang adalah pemain sama. Mereka akan terus ke sana sebaik sahaja kejohanan di UPM berakhir," katanya.

Abdul Rashid juga memaklumkan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA, Mohd Futra Abd Ghani dilantik sebagai pengurus dan jurulatih pasukan sepak takraw bagi Sukma 2016 di Sarawak.

Bekas pemain negeri Ramli Salleh dan Wan Sulaiman Wan Su pula dilantik sebagai pengurus pasukan lelaki dan wanita, tambah beliau.

Katanya Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) juga turut bekerjasama dengan MSNT dalam menyediakan pasukan untuk menghadapi kejohanan tersebut.