PABLO Carreno-Busta bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Hubert Hurkacz dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Kanada, sekali gus memenangi gelaran ATP 1000 pertama sepanjang kariernya awal pagi tadi.

Pemain Sepanyol itu menjadi pemain bukan pilihan pertama memenangi kejohanan itu sejak Guilhermo Canas melakukannya pada 2002 selepas menewaskan pemain pilihan kelapan, Hurkacz, 3-6, 6-3, 6-3 di Montreal.

Selepas bergelut untuk menundukkan Dan Evans dalam separuh akhir untuk mara ke final ATP 1000 pertamanya dalam acara perseorangan, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berdepan kesukaran dalam set pertama, di mana dia sering terperangkap dengan pukulan ace lawan dan servisnya dipatahkan dalam game keenam.

Bagaimanapun, permulaan agresif yang dipamerkan Carreno-Busta dalam set kedua menyaksikan dia mendahului 3-0 dan mempertahankan kelebihannya untuk memenangi set berkenaan.

Pemain Poland di ranking ke-10 dunia, Hurkacz, memulakan set ketiga dengan baik tetapi kegagalannya ketika memegang servis menyaksikan Carreno-Busta bangkit untuk merampas kemenangan.