Pemain T-Team diingatkan agar tidak memandang mudah apabila bertemu pasukan DRB-Hicom pada saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa ini.

Penolong jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim berkata ini kerana pasukan di tangga kesembilan liga itu mungkin mampu menggugat kedudukan T-Team untuk memburu gelaran liga musim ini.

T-Team kini menghuni tangga kedua liga dengan 37 mata, ketinggalan dua mata dengan pendahulu Kedah, dan mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan liga jika memenangi baki empat perlawanan musim ini.

"Kita perlukan mata sebab itu kita tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan DRB-Hicom," katanya kepada Bernama pada Ahad.

Katanya T-Team dijangka menurunkan kesebelasan yang sama ketika mengalahkan Sabah 4-1 di Stadium Likas.