Sejumlah RM250,000 hadiah wang terkumpul tersedia untuk dimenangi oleh peserta Kejohanan Selangor Xtiv Virtual E-sports 2020 (SXVE20) yang bermula hari ini hingga Disember tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Fasa Pertama bermula pada 4 sehingga 31 Mei dengan lima permainan dipertandingkan iaitu Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, FIFA 20, Pro Evolution Soccer (PES20) dan Dota.

Jelasnya, kejohanan itu merupakan kali pertama diadakan dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Selangor (ESS).

“Ia akan menggalakkan aktiviti berfaedah belia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“E-sukan juga boleh memupuk semangat solidariti belia untuk terus kekal duduk di rumah bagi mencegah COVID-19.

“Kejohanan ini juga dapat melahirkan bakat baharu e-sukan di peringkat akar umbi, disamping menjadi platform kepada kerajaan negeri untuk mendekati belia dan membangunkan e-sukan di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

SXVE20 adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menggalakkan penglibatan aktif rakyat, khususnya belia dalam melakukan aktiviti berfaedah di rumah sepanjang tempoh PKP.

Ia juga usaha bersama untuk berganding bahu mencegah penularan COVID-19 dengan terus kekal #stay@home.

Kejohanan terbuka kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun (sekolah rendah), bawah 18 tahun (sekolah menengah) dan semua peringkat umur.

Kata Mohd Khairuddin, kejohanan itu menekankan pembangunan e-sukan di peringkat akar umbi dengan membuka peluang lebih ramai bakat-bakat baharu.

“Ia sekali gus mensasarkan lebih dari 100,000 penyertaan sebulan terutamanya kepada pasukan amatur di seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.

Mereka yang berminat boleh terus melayari Facebook @Selangor Xtiv Virtual 2020 dan @EsportSelangor atau menghubungi sekretariat program, Mohd Hafis Khairulah di talian 012 677 4294 dan Suhaila Kamal (012 546 3464).