KUCHING: Putri Nurrafqistina Damia Md Roshidi membuktikan wakil wanita Perlis tiada tandingannya apabila menyumbang emas keempat Perlis menerusi acara taekwondo.

Pada aksi akhir kategori bawah 46 kilogram (kg) di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, atlet tempur berusia 16 tahun itu menewaskan Aryssa Ashura Adnan Ashraff dari Selangor 2-0.

Kemenangan itu menyaksikan Putri Nurrafqistina Damia muncul atlet ketiga wanita Perlis merangkul gelaran juara di Bumi Kenyalang.

Ini selepas kejayaan Wong Zin menerusi poomsae individu wanita dan campuran serta Nadia Aina Syazwani Ishak bagi kategori bawah 67 kg.

Saingan bawah 58kg lelaki pula menyaksikan Sebastian Tan Chung Wan dari Kelantan menumbangkan wakil Perlis, Darschan S Nathan 2-1.

P Moganarrajan dari Johor pula jelas tiada tandingan apabila menumbangkan wakil Negeri Sembilan Ahmad Muhaimin M Al Hafiidz 2-1 untuk emas bawah 54kg lelaki.

-- BERNAMA