KUCHING: Persembahan kontinjen tuan rumah pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 setakat ini memuaskan, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata kontinjen berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 pingat emas sekali gus menjadi juara keseluruhan.

"Dalam masa dua hari ini kita sudah berjaya mencapai posisi yang baik dalam ranking pingat. Ada lagi sukan-sukan lain yang kita tahu mampu menyumbang lebih banyak emas.

"Kita (Sarawak) mahu jadi juara keseluruhan. Sudah lama kita nantikan, kali terakhir kita jadi juara 30 tahun lepas iaitu pada 1994," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara tenis sempena SUKMA 2024 di Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini hari ini.

Tenis yang menawarkan enam pingat emas pada temasya kali ini membuka tirai hari ini menerusi acara berpasukan campuran.

Setakat 12 tengah hari, kontinjen Sarawak mendahului carta kutipan pingat SUKMA Sarawak 2024 selepas merangkul empat emas, satu perak dan tiga gangsa.

SUKMA 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak, menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian, mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA edisi ke-21 itu.

-- BERNAMA