MIRI: Atlet tuan rumah Eidelweiss Franzel Francey Sami memahat sejarah baharu sukan karate Sarawak apabila meraih pingat emas acara Kumite wanita lebih 68 kilogram (kg) Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Lebih manis, Eidelweiss, 18, mencatat namanya selaku penyumbang pingat emas pertama untuk kem karate di pentas SUKMA sejak penyertaan pada edisi 2000.

Namun di sebalik kejayaan dikecapi, beliau terpaksa melawan kesakitan demi menidakkan kemenangan wakil Terengganu Mirza Amirah Syuhada Mohd Faizal dengan kemenangan 8-6 untuk menggenggam emas di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini.

"Sangat bersyukur dengan kejayaan ini apatah lagi ia emas pertama dalam karate buat Sarawak. Biarpun cedera saya cukup berbangga dengan pencapaian ini.

"Saya juga tidak sangka peluang diberi untuk beraksi dalam kategori ini (lebih 68kg) membuahkan hasil dan ia berbaloi sebab sebelum ini saya berada dalam kategori bawah 68kg," katanya kepada Bernama.

Ketika menghadapi kesakitan dalam gelanggang pertandingan, Eidelweiss hanya terbayangkan wajah ibu dan bapa menyebabkan beliau bangkit melawan kesakitan untuk terus memberikan saingan sengit demi mendapatkan mata kemenangan.

Sementara itu, ketua jurulatih karate Sarawak Jarvis Julian berkata kejayaan hari ini merupakan sesuatu yang dinantikan oleh beliau yang pernah mewakili Sarawak pada SUKMA 2000.

"Kita menunggu untuk saat ini, 24 tahun itu tempoh agak lama akhirnya kita mencipta sejarah.

"Sejak saya jadi atlet dulu inilah emas pertama buat karate. Tiada apa lagi dapat saya gambarkan atas kejayaan ini kerana beliau (Eidelweiss) memberikan kegembiraan ibarat saya yang menang emas," katanya yang mengendalikan skuad karate Sarawak sejak 2016.

-- BERNAMA