Ini selepas Thailand menawarkan jumlah pingat emas terbanyak, dengan 585 acara dipertandingkan daripada 9 hingga 20 Disember di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla.
Perkara itu dinyatakan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sukan Dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Faithal Hassan, mengenai temasya dwi tahunan itu.
Begitupun, andai pendedahan kepada atlet muda merupakan sasaran MOM, dia berpendapat perkara itu merupakan persiapan terbaik untuk mereka memperagakan aksi terbaik sebagai persiapan ke temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.
"Buat masa ini sukan seperti pelayaran berkemungkinan kita boleh raih keputusan baik, begitu juga memanah yang kita ada peluang yang cerah. Kita tidak boleh terlalu ghairah sertai semua acara yang dipertandingkan.
"Kita perlu lebih selektif dan sertai acara yang kita punyai peluang besar untuk raih pingat," katanya.
Dia turut menegaskan temasya Sukan SEA edisi ke-32 di Kemboja lalu wajar dijadikan pengajaran berguna apabila kontinjen negara merekodkan sejarah hitam dengan pencapaian terburuk, menduduki tempat ketujuh selepas hanya meraih 34 pingat emas, 45 perak, dan 97 gangsa, berbanding sasaran 40 emas.
"Sekiranya Sukan SEA Thailand satu pendedahan buat atlet muda, kita perlu pastikan mereka mendapat pengalaman yang bernilai tinggi." katanya.