Persiapan Malaysia dalam pelbagai aspek bagi penganjuran temasya Sukan SEA dari 19-31 Ogos ini, berada pada landasan yang tepat.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tunku Ja'afar berkata beliau yakin semua perancangan akan berjalan seperti dirancang dan akan memastikan semua tanda aras yang ditetapkan dapat dipenuhi.

Katanya daripada aspek persiapan, ada beberapa perkara yang berjalan lancar manakala ada yang di belakang jadual tetapi yakin semuanya dapat disiapkan seperti yang ditetapkan.

"Semuanya berada pada landasan tepat tetapi ia bukan bermakna kita boleh sambil lewa. Kita masih perlu berusaha keras menyiapkan semuanya mengikut masa.

"Persiapan dalam apa juga sukan memang begini, ada masanya segalanya bergerak perlahan tetapi masih ada peluang untuk memecut mengejar tempoh ditetapkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis MOM di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Lawan Pedang Malaysia, Rusni Abu Hassan diumumkan sebagai penerima Anugerah Wanita dan Sukan MOM 2016.

Rusni turut memegang jawatan penting yang lain seperti Naib Presiden Konfederasi Lawan Pedang Asia dan Presiden Persekutuan Lawan Pedang Asia Tenggara.

Selain itu, Tunku Imran turut menasihatkan semua sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur agar tidak mengharapkan sebarang imbuhan.

"Sukarelawan tidak boleh mengharapkan ganjaran walaupun ketika ini perbincangan masih dibuat dengan MASOC (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia)

"Ia seharusnya membabitkan kepuasan menjadi sebahagian daripada pasukan yang menganjurkan temasya yang berjaya. Siapa tahu mungkin mereka akan menerima ganjaran kemudian," katanya.

-- BERNAMA